PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan dipersembahkan taklimat mengenai laporan kemajuan kerja-kerja pembinaan Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil.
Menerusi satu kenyataan di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, masjid berkenaan dibina hasil peninggalan wang anakanda Seri Paduka Baginda, Almarhum Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim, Tunku Laksamana Johor yang mangkat pada 5 Disember 2015.
“Masjid yang dibina di Jalan Kolam Air berhampiran Istana Bukit Serene mampu memuatkan hampir 1,000 jemaah,”kata kenyataan itu.
Terdahulu, Seri Paduka Baginda berkenan menerima mengadap Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Asman Shah Abd Rahman dan
Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad, di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Negeri Johor, Mohd Radzi Mohd Amin, Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor, Nasri Ali dan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Johor, Ir Zainal Tumian. – KOSMO! ONLINE














