BACHOK – Seorang petani yang mempunyai lima anak orang kurang upaya (OKU) menarik nafas lega apabila kesulitan untuk menukar kad pengenalan lama kepada MyKad dua anaknya dapat selesaikan selepas Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) turun padang ke rumahnya di Kampung Gong Tungai, Gunong di sini hari ini.
Mohd. Noor Mohd. Zain, 70, bersama isteri, Siti Mariam Hassan, 67, sebelum ini tidak dapat membawa anak ketiga, Mohd. Zaimi, 48, merupakan OKU masalah pembelajaran yang sentiasa tidak selesa berpakaian dan anak keempat, Mohd. Zulkifli, 29, yang mengalami kemurungan selain menghidap sakit saraf.
Menurutnya, dia bersyukur apabila JPN datang ke rumahnya untuk membantu segala urusan membuat MyKad kepada Mohd. Zaimi dan Mohd. Zulkifli menerusi Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar).
“Mohd. Zaimi masih memegang kad pengenalan lama meskipun kerajaan sudah memperkenalkan MyKad sejak lebih 20 tahun lalu manakala Mohd. Zulkifli pula tidak memperbaharui dokumen itu selepas berusia 18 tahun.
“Kakitangan JPN baru-baru ini datang ke rumah kami untuk mengambil gambar, memproses maklumat dan memujuk kedua-dua anak saya sehingga mereka berjaya miliki MyKad,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan MyKad Mekar oleh Ketua Pengarah JPN, Datuk Badrul Hisham Alias di rumahnya di Kampung Gong Tungai, Gunong di sini hari ini.
Sementara itu, Badrul Hisham berkata, Mekar merupakan inisiatif berterusan JPN bagi memastikan semua warganegara yang layak menerima dokumen pengenalan diri tanpa perlu hadir ke pejabat.
“JPN telah melaksanakan lebih 3,300 program menerusi Mekar di seluruh negara melibatkan hampir 100,000 pemohon sepanjang tahun ini. Lebih 240 program telah dilaksanakan di Kelantan sekali gus merupakan antara negeri tertinggi pelaksanaan Mekar,” ujarnya.
Beliau berkata, sehubungan itu, JPN akan terus bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan dan ketua masyarakat untuk mengenal pasti kes keciciran MyKad khususnya melibatkan golongan OKU. – KOSMO! ONLINE














