SIK – Pertubuhan Muafakat Anak-Anak Sik (PEMASIK) mengagihkan kira-kira 300 set kelengkapan ‘kembali ke sekolah’ kepada murid-murid daripada 23 buah sekolah rendah dari seluruh daerah ini.
Pengerusi Penaja PEMASIK, Azran Fitri Rahim berkata, program ‘Kembali ke Sekolah’ yang kerjasama Persatuan Guru Besar Malaysia (PGBM) cawangan Sik itu telah diadakan di Sekolah Kebangsaan Seri Dusun, di sini Sabtu lalu.
Beliau berkata, set kelengkapan yang mengandungi uniform sekolah, kasut, sarung kaki, beg dan alat tulis itu merupakan sumbangan daripada pelbagai pihak dengan kos hampir RM50,000.
“Pada awal November lalu, kita telah menganjurkan kempen infaq Kembali ke Sekolah, kita memberi peluang kepada orang ramai untuk menderma satu set kelengkapan dengan nilai RM150 dan sasaran kita pada ketika itu hanya untuk 100 set atau 100 orang.
“Alhamdulillah, kempen ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan sehingga mencecah 300 orang. Namun penyumbang utama ialah seorang ahli perniagaan muda dari Kuala Lumpur, terima kasih kepada semua penyumbang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Program Kembali ke Sekolah ini telah dirasmikan oleh Penolong Pegawai Daerah Pra Sekolah dan Rendah daerah Sik, Hasli Hussin yang mewakili Ketua Pegawai Pendidikan Daerah.
Yang turut hadir, Pengerusi PGBM cawangan Sik, Md. Desa Ibrahim, Pengerusi Yayasan Pembangunan Bakti Insan, Datuk Mohd. Tajudin Abdullah, guru-guru besar, ibu bapa dan murid-murid.
Azran Fitri berkata, pihaknya berharap sumbangan tersebut dapat membantu meringankan beban ibu bapa untuk menyediakan kelengkapan sekolah kepada anak-anak.
“Majoriti penduduk Sik adalah penoreh getah. Mereka terjejas teruk akibat musim tengkujuh baru-baru ini. Sekarang baru boleh menoreh tetapi musim daun luruh, susu getah kurang.
“Disebabkan itu, kita menganjurkan program ini bagi membantu murid-murid asnaf untuk kembali ke sekolah pada bulan depan dengan pakaian baru dan tidak rasa terpinggir,” katanya. – KOSMO! ONLINE














