SEBAGAI seorang pelajar dari Malaysia yang berpeluang untuk melanjutkan pengajian di Korea Selatan bukanlah sesuatu yang mudah buat Nur Syafiqah Abqari Luthfi Albert.
Namun, gadis berusia 23 tahun itu membuktikan bahawa setiap cabaran tidak menjadi penghalang untuknya menyempurnakan pengajian di bumi asing.
Dia yang melanjutkan pengajian dalam bidang biosains dan teknologi makanan di Universiti Korea baharu sahaja menyelesaikan semester akhir pengajian peringkat ijazah pada bulan ini dan akan bergraduasi pada Februari ini.
Mengulas tentang antara cabaran yang dihadapinya ketika melanjutkan pengajian di Korea Selatan, Nur Syafiqah berkata, ‘language barrier’ ataupun halangan bahasa adalah antara cabaran utama.
Menurutnya, di universiti, kebanyakan kuliah disampaikan di dalam bahasa Korea.
“Sesetengah pensyarah juga menggunakan material pembelajaran di dalam bahasa Korea.
“Jadi, ia merupakan satu cabaran untuk memahami sesuatu konsep baharu dalam silibus pembelajaran, di samping memahami istilah-istilah baharu dalam bahasa Korea.
“Selain itu, mengimbangi masa untuk belajar dan menguruskan kehidupan seharian juga merupakan salah satu cabaran sebagai pelajar antarabangsa,” katanya yang berasal dari Selangor.
Tambahnya, di sana dia belajar berdikari dalam menguruskan pelbagai urusan kehidupan seharian.
Kini setelah hampir empat tahun berada di Korea Selatan, Nur Syafiqah telah fasih untuk berbahasa Korea. Hidup di bumi asing dan jauh dengan keluarga bukanlah sesuatu yang mudah baginya.
Oleh itu, Nur Syafiqah juga turut melakukan kerja sambilan sebagai pelayan di kedai makan halal di Korea Selatan.
“Ini adalah kerja sambilan yang saya hanya lakukan dalam sekali atau dua kali seminggu bergantung kepada jadual kelas kuliah.
“Bagi saya kerja sambilan ini tidaklah mengganggu pengajian kerana saya bahagikan masa yang lain untuk fokus pada pembelajaran.
“Kerja sambilan ini saya lakukan sekadar untuk mendapatkan duit tambahan untuk berbelanja, jadi saya sentiasa memastikan diri saya akan mengutamakan pelajaran sebagai,” jelasnya.
Pada cuti semester, Nur Syafiqah kadang-kadang bekerja sambilan sebagai pemandu pelancong kepada pelancong Malaysia yang bercuti ke Korea Selatan.
Melalui kerja sambilan seperti ini ini, dia bukan sahaja mendapat pengalaman malah juga dapat membina keyakinan diri, menambah skil berinteraksi dan menyelesaikan masalah.
Dalam pada itu, mengulas tentang bagaimana dia boleh melanjutkan pengajian di Korea Selatan, Nur Syafiqah berkata, dia mendapat tawaran tajaan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara.
Menurutnya, ketika di alam persekolahan dia mengambil mata pelajaran sains tulen dan mempunyai minat dalam subjek biologi.
“Melalui minat yang tinggi dalam subjek biologi, saya telah memohon program tajaan JPA ke Korea Selatan yang menawarkan tajaan dalam bidang sains dan teknologi, berbanding program tajaan ke negara lain yang kebanyakannya menawarkan bidang sains sosial atau kejuruteraan.
“Saya memilih jurusan teknologi makanan kerana saya berpendapat bahawa bidang ini mempunyai potensi yang tinggi untuk berkembang di mana-mana.
“Makanan merupakan salah satu perkara asas kehidupan, jadi saya percaya melalui bidang ini lebih banyak produk makanan yang berkualiti boleh dihasilkan bagi menambahbaik kehidupan seharian, disamping menyelesaikan krisis makanan sedunia,” ujarnya yang berketurunan Bidayuh.
Di kampus, Nur Syafiqah juga merupakan seorang pelajar yang aktif dan sering terlibat dengan program yang dianjurkan universiti dan aktiviti persatuan pelajar.
Dia pernah menjadi ahli jawatankuasa Persatuan Pelajar Malaysia Korea (PPMK) sesi 2023/24 sebagai Biro Komunikasi dan Tugas Khas.
“Ketika menjadi AJK PPMK, kami telah menganjurkan dan menguruskan pelbagai program bagi para pelajar Malaysia di Korea Selatan untuk mengeratkan hubungan antara para pelajar.
“Melalui pengalaman sebagai AJK PPMK, saya telah belajar pelbagai kemahiran seperti kemahiran kepimpinan, komunikasi dan menyelesaikan masalah,” katanya.
Ketika ditanya tentang perancangan masa hadapannya, Nur Syafiqah berkata, selepas tamat pengajian, dia merancang untuk pulang dan bekerja di tanah air.
“Untuk bidang pekerjaan, masih dalam perancangan, jika ada rezeki, saya berminat untuk menceburi pekerjaan dalam makmal penyelidikan makanan.
“Selain itu, dengan fasih dalam bahasa Korea merupakan salah satu kelebihan bagi saya untuk menceburi pekerjaan yang memerlukan kemahiran berbahasa Korea,” jelasnya.















