fbpx
MOHD. SHAHRILNIZAM (dua dari kanan) bersama juara JIEC 2025 yang berjaya menundukkan Indonesia 3-2 dalam perlawanan akhir di JBCC semalam.

Malaysia tepati ramalan juara JIEC 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Malaysia muncul juara Kejohanan e-Sukan Antarabangsa Johor 2025 (JIEC 2025) selepas menundukkan Indonesia 3-2 dalam perlawanan akhir yang penuh mendebarkan pada aksi penutup tirai di Komtar Johor Bahru City Centre (JBCC).

Kejohanan bertaraf antarabangsa berlangsung selama tiga hari bermula 26 hingga 28 Disember itu menghimpunkan pemain-pemain terbaik dari Malaysia dan beberapa negara Asia Tenggara, menjadikan JBCC tumpuan komuniti e-Sukan.

Presiden Persatuan Sukan Elektronik Negeri Johor Darul Takzim (JDTEA), Mohd. Shahrilnizam Omar berkata, kejayaan penganjuran JIEC 2025 membuktikan Johor memiliki keupayaan dan infrastruktur mencukupi untuk menjadi tuan rumah kejohanan e-Sukan bertaraf antarabangsa.

“Kejohanan ini bukan sahaja menjadi pentas persaingan berprestij, malah berperanan penting dalam mencungkil bakat baharu serta memberi pendedahan berharga kepada atlet tempatan untuk bersaing dengan pasukan dari luar negara.

“Perlawanan akhir menyaksikan Malaysia menewaskan Indonesia dengan keputusan 3-2, sekali gus membuktikan tahap profesionalisme dan kemahiran tinggi atlet e-Sukan tempatan,” katanya.

Katanya, JIEC 2025 dianjurkan oleh Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) dengan kerjasama JDTEA selain disokong persatuan e-Sukan lain termasuk Persatuan eSukan Johor Bahru (JBEA), Persatuan eSukan Batu Pahat (BPEA), Persatuan eSukan Kota Tinggi (KTEA) dan Persatuan Sukan Elektronik Kulai (KESA).

“Acara utama kejohanan adalah eFootball Mobile, manakala acara sampingan termasuk Mobile Legends: Bang Bang (MLBB), PUBG Mobile dan eFootball bagi kategori konsol dan mudah alih.

“Jumlah hadiah keseluruhan bagi kejohanan ini adalah RM50,000, menjadi tarikan utama peserta dari dalam dan luar negara,” ujarnya.

Terdahulu, penyertaan antarabangsa itu melibatkan Indonesia, Thailand dan Timor Leste dengan jumlah 32 pasukan MLBB, 32 pasukan PUBG Mobile, 64 peserta eFootball Konsol dan 128 peserta eFootball Mobile. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN