PETALING JAYA – “Carilah nama lain asalkan bukan Muafakat Nasional (MN),” kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi.
Menurut beliau, nama MN sudah rosak dan telah dikomersialkan oleh bekas pemimpin UMNO yang kini Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa.
Bagaimanapun, beliau meminta tiada pihak mengulangi cerita lama menjadi ‘ahli banyak parti’ sekiranya badan baharu tersebut dibuat.
“Timbul desakan supaya dihidupkan semula MN. Apa salahnya mencuba, tetapi cari nama lain. Tidak salah ambil semangat dan tujuan murninya. Buat nama baharu agar sejarah pahit penuh tipu muslihat dibuang jauh.
“Tetapi jangan setelah dibuat badan baharu, di sini dia ahli, di sana dia ahli dan ‘di sinun’ dia juga ahli. Kalau itu berulang maka kita mengulang cerita lama. Main banyak lawang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Desakan supaya MN diwujudkan semula oleh sebilangan ahli politik timbul berikutan kemelut yang berlaku di Perlis baru-baru ini.
Antara pimpinan politik membuat saranan itu ialah Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh dan AJK Pas Pusat, Datuk Seri Shahidan Kassim.
“Selagi asasnya politik, muafakat tidak ke mana. Kuasa tetap menjadi punca kita berpecah belah. Lebih baik bina persefahaman agar tebuk atap atas kepala kawan sendiri seperti di Perlis tidak berlaku,” kata Mohd. Puad. – KOSMO! ONLINE














