PETALING JAYA – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menegaskan tiada sebarang arahan dikeluarkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu di Perlis untuk menandatangani mana-mana akuan berkanun susulan krisis politik di negeri berkenaan.
Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Bersatu hanya menyembah maklum nama calon Menteri Besar Perlis dari partinya setelah dititah oleh Istana Perlis untuk berbuat demikian.
“Justeru, Bersatu akan mendengar penjelasan ADUN-ADUN Bersatu Perlis untuk mengetahui kedudukan sebenar isu ini.
“Saya ingin menegaskan bahawa Perikatan Nasional (PN) menghormati kuasa budi bicara Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, dan menjunjung Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis dalam pelantikan Menteri Besar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Muhyiddin, partinya itu juga menghormati kedudukan Pas sebagai parti yang memimpin PN di Perlis.
“Saya berharap isu berhubung kedudukan Menteri Besar Perlis akan dapat diselesaikan dalam semangat keluarga besar PN.
“Saya yakin bahawa parti-parti anggota PN mempunyai kaedah masing-masing untuk menguruskan sebarang isu yang berbangkit dengan berhemah demi menjamin kestabilan dan kelangsungan pentadbiran PN di Perlis,” katanya.
Sebelum ini, Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man menggesa Bersatu mengambil tindakan tegas terhadap lima ADUN Perlis dari parti Bersatu yang didakwa menandatangani surat akuan berkanun (SD) untuk menarik balik sokongan terhadap bekas Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.
Pas juga dalam masa yang sama memaklumkan telah mengambil keputusan menggugurkan keahlian tiga ADUN Perlis daripada parti itu yang berkuat kuasa serta-merta selepas Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang bersidang 24 Disember lalu.
Perkara itu disahkan menerusi kenyataan Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang memaklumkan keputusan itu dibuat berdasarkan Fasal 76 dan Fasal 15A(1)(b) Perlembagaan Pas (Pindaan 2025).
Tiga ADUN terbabit ialah Saad Seman (ADUN Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (ADUN Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (ADUN Guar Sanji). – KOSMO! ONLINE














