AWAL tahun ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terus dilanda ‘tsunami’ apabila kerusi panas Ahli Jawatankuasa (Exco) badan induk sukan No. 1 negara itu kosong selepas mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan secara kolektif susulan isu pemalsuan dokumen.
Keputusan itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan meskipun barisan Exco baru sahaja dilantik pada kongres pemilihan Februari tahun lalu bagi penggal 2025-2029.
Badai ini terhasil sejurus presiden Datuk Mohd. Joehari Ayub meletakkan jawatan secara mendadak sekali gus ‘menggoncang’ Wisma FAM pada Ogos lalu.
Nama persatuan sukan itu terus tercalar selepas terpalit dengan kontroversi pemalsuan dokumen pemain warisan yang menggegarkan arena sukan ketika Harimau Malaya berada dalam fasa revolusi.
Kini, FAM terpaksa bermula dengan kosong dan akan memilih kabinet baharu pada kongres pemilihan dijangka berlangsung tidak lama lagi.
Tumpuan sekarang pastinya terarah kepada siapa yang layak meneruskan legasi menjadi pemimpin No. 1 di kerusi panas FAM itu nanti.
Terdapat banyak spekulasi mengenai calon yang dianggap layak menjadi presiden antaranya bekas pemain skuad kebangsaan, ahli politik dan tokoh berpengaruh dalam bidang korporat.
Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia, Firdaus Mohamed berpandangan, mana-mana individu yang bakal dilantik kelak pasti memikul tanggungjawab yang besar.
Katanya, kemelut yang masih belum menemui titik noktah ketika ini perlu diselesaikan segera dalam usaha memulihkan semula maruah bola sepak negara yang sudah tercalar.
Firdaus yang juga bekas Naib Presiden FAM penggal 2021-2025 berkata, selain perlu memiliki visi yang jelas, individu terbabit juga perlu menaikkan semula keyakinan semua badan ahli gabungan FAM.
“Paling penting untuk menjadi presiden baharu adalah visi yang besar. Jika dia mempunyai jiwa bola sepak, saya rasa tiada masalah untuk individu tersebut menggalas jawatan penting itu nanti.
“Selain itu, saya juga harap sesiapa yang dilantik dapat menjalin hubungan baik dengan ahli gabungan dan berpengalaman dalam selok-belok arena bola sepak tempatan,” katanya.
Sementara itu, pemerhati sukan tanah air, Datuk Dr. Pekan Ramli berkata, individiu yang bakal dilantik menjadi Presiden FAM selepas ini perlu memiliki minat dalam usaha memacu bola sepak tanah air ke tahap yang lebih tinggi.
Jelas Pekan, tidak kira status atau latar belakar mana-mana tokoh, tetapi yang paling utama adalah memiliki jiwa bola sepak dan keinginan yang besar.
“Minat itu sangat penting kerana kalau kalau tidak minat, bakal pemimpin tersebut pasti buat kerja separuh jalan dan mudah dipengaruhi orang lain. Jadi, presiden akan datang, kita tidak mahu seperti itu.
“Kita sedia maklum FAM merupakan sebuah persatuan sukan kebangsaan. Walaupun FAM boleh dikatakan sebagai organisasi bukan berasaskan keuntungan, namun masih ada elemen ‘bisnes’ yang perlu dijalankan.
“Menguruskan bola sepak memerlukan dana yang besar dan kita memerlukan calon yang mempunyai karisma, jalinan kerja dan hubungan yang kuat sama ada dalam konteks politik atau melalui bidang perniagaan,” katanya.














