PERNAH mencipta populariti bersama saluran televisyen Nickelodeon ketika zaman kanak-kanak sekitar awal tahun 2000, keadaan pelakon Tylor Chase kini mengundang simpati ramai apabila dia didakwa menjadi gelandangan.
Los Angeles yang dulu pernah menjadi medan kemasyhurannya sewaktu menggalas watak sebagai Martin Qwerly dalam siri Ned’s Declassified School Survival Guide mengubah nasib lelaki berusia 36 tahun itu.
Beberapa laporan menyebut Chase dilihat dalam keadaan tidak terurus, kotor serta tidur di kaki lima atau lokasi yang menjadi tumpuan gelandangan.
Difahamkan keadaan sukar dilaluinya sejak beberapa tahun lalu berpunca daripada masalah kewangan ditambah penyakit bipolar dihadapinya.
Sebelum itu, terdapat satu tabung dibuka di laman sosial untuknya oleh seorang individu namun ibu Chase menutup saluran tersebut kerana berasakan tindakan memberi wang bukan cara terbaik untuk membantunya.
Menurut wanita terbabit, anaknya memerlukan rawatan perubatan dan sokongan kesihatan mental yang konsisten, bukan wang semata-mata.














