PETALING JAYA – Kerajaan menurunkan harga runcit petrol RON97 sebanyak lapan sen kepada RM3.16 seliter, manakala RON95 tanpa subsidi turun enam sen kepada RM2.56 seliter bermula esok.
Kementerian Kewangan dalam kenyataannya berkata, diesel di Semenanjung Malaysia turut mengalami penurunan sebanyak lapan sen kepada RM2.94 seliter sehingga 31 Disember ini.
Katanya, penetapan harga itu dibuat seiring perubahan harga pasaran minyak dunia dan pelarasan mingguan menggunakan formula Automatic Pricing Mechanism (APM).
“Kerajaan akan terus memantau perkembangan pasaran dan menyelaras harga runcit RON97, RON95 dan diesel dengan mengambil kira pergerakan harga pasaran minyak dan juga menyokong kestabilan harga,” ujarnya
Dalam kenyataan sama, kementerian menjelaskan, harga runcit petrol bersubsidi RON95 di bawah Budi Madani RON95 (BUDI95) kekal RM1.99 seliter, manakala harga runcit diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan turut kekal pada harga RM2.15 seliter.
Bagi tempoh 18 hingga 24 Disember, harga RON97 ditetapkan pada RM3.24, RON95 tanpa subsidi (RM2.62) dan diesel Semenanjung (RM3.02) seliter. – KOSMO! ONLINE














