KESIBUKAN jadual kerja dan kos bayaran keahlian pusat kecergasan yang mahal menjadi antara penyebab individu tidak memberi fokus kepada penjagaan kesihatan dan keadaan fizikal badan.
Sebagai penyelesaian kepada masalah tersebut, aplikasi 7 Minute Workout: Fitness App direka untuk individu yang sibuk dan memerlukan rutin senaman ringkas tetapi berkesan.
Menjadi salah satu aplikasi kecergasan digital yang popular di peringkat global, 7 Minute Workout menggabungkan prinsip Latihan Litar Intensiti Tinggi (HICT) dalam tempoh hanya tujuh minit sehari.
Memberi fokus kepada senaman berstruktur yang mudah diikuti dan boleh dilakukan tanpa menggunakan peralatan khas menjadikan aplikasi ini sangat sesuai untuk dilakukan di pejabat, rumah mahupun di taman rekreasi awam.
Rutin senaman dibahagikan kepada beberapa set aktiviti seperti jumping jacks (lompat bintang), wall sit, tekan tubi, crunch, step-up, squat, triceps dips, plank, lunge dan high knees.
Setiap aktiviti akan dilakukan selama 30 saat diikuti dengan rehat 10 saat sebelum beralih ke aktiviti berikutnya sehingga mencukupi masa tujuh minit.

Bagi memberikan pengalaman lebih menarik, aplikasi tersebut turut dilengkapi dengan arahan visual bersama isyarat audio untuk memudahkan pengguna mengikut tempo senaman tanpa perlu sentiasa memerhati skrin.
Pengguna juga boleh menyesuaikan tahap kesukaran mengikut kemampuan mereka, sama ada pemula atau pertengahan mahupun ingin melakukan senaman tahap lanjutan.
Integrasi grafik animasi dan video demonstrasi juga dapat membantu pengguna memahami gerakan dengan betul bagi mengurangkan risiko kecederaan. Pendekatan digital antara muka pengguna atau user interface (UI) lebih mesra pengguna dengan navigasi yang mudah dan rekod prestasi secara automatik.
Menurut pengguna dikenali sebagai Sophia Addison, 7 Minute Workout menjadi penyelesaian untuk melakukan senaman ringkas yang mudah diakses oleh sesiapa sahaja pada bila-bila masa.

“Melakukan sebarang senaman adalah lebih baik daripada tidak bersenam langsung. Aktiviti senaman di dalam aplikasi ini juga sesuai mengikut kemampuan pengguna kerana dibuat berdasarkan pilihan.
“Tidak memerlukan masa yang lama, cukup sekadar tujuh minit pengguna meluangkan masa dalam sehari atau bagi yang ingin membina ketahanan diri boleh melakukan dua atau tiga pusingan untuk mendapatkan hasil yang lebih optimum,” katanya.
Reka bentuk digital yang interaktif juga membuatkan pengalaman menjadi lebih menarik selain dapat menjadi pembakar semangat untuk melakukan senaman secara konsisten.
Malah, integrasi digital seperti menjejaki data, peringatan dan panduan visual membolehkan pengguna untuk mengukur kemajuan senaman mereka dengan teratur.
Manfaat aplikasi ini juga jelas apabila dapat membantu pengguna meningkatkan kecergasan kardiovaskular, kekuatan otot, fleksibiliti dan metabolisme dalam tempoh masa minimum.
Justeru, aplikasi 7 Minute Workout sangat sesuai untuk mereka menginginkan jurulatih kecergasan maya, sekali gus dapat membantu melakukan senaman secara berdisiplin.














