fbpx
Jegan (tengah) memeriksa barangan sempena SHMMP Krismas 2025 yang bermula hari ini. Foto oleh SITI NUR MAS ERAH AMRAN/KOSMO!

197 pegawai, anggota KPDN P. Pinang pantau harga sempena Krismas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBERANG PERAI – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Pulau Pinang menempatkan seramai 137 pegawai penguat kuasa dan 60 pegawai pemantau di lokasi strategik seluruh negeri bagi memantau pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2025, bermula hari ini hingga 27 Disember depan.

Pengarahnya, S. Jegan, berkata kesemua pegawai berkenaan ditempatkan di pasar awam, pasar tani serta pusat beli-belah bagi melindungi pengguna daripada peniaga tidak beretika.

“Dalam masa sama, KPDN akan terus memperkukuh kerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi memastikan bekalan barangan terkawal mencukupi sepanjang tempoh pelaksanaan skim ini.

“Kami berharap semua pihak mematuhi harga maksimum yang ditetapkan serta menggunakan label berwarna merah jambu bagi barangan di bawah kawalan harga,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan SHMMP Krismas 2025 Peringkat Negeri Pulau Pinang di Seberang Jaya di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, dari 1 Januari hingga kini, KPDN telah menjalankan pemeriksaan ke atas 72,652 premis di seluruh Pulau Pinang, dengan 846 kes diambil tindakan melibatkan sitaan bernilai RM3,460,116 serta kompaun berjumlah RM516,500.

Tambahnya, bagi tempoh 1 Januari hingga 22 Disember, KPDN turut menerima 2,635 aduan berkaitan isu harga dan bekalan barangan, merangkumi 1,146 aduan harga barangan dan perkhidmatan, 220 aduan bekalan barangan kawalan, manakala 1,269 lagi melibatkan aduan lain. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN