PETALING JAYA – Penangan ketagihan kopi mengakibatkan penggemarnya sanggup berhabis ribuan ringgit sebulan atas alasan mahu kekal fokus pada kerja atau pelajaran walaupun menyedari ia merupakan satu beban yang sangat sukar untuk dielakkan.
Rata-rata penggemarnya mengakui tidak boleh memulakan hari tanpa kopi dan menjadi satu kewajipan untuk membelinya hingga mencecah lima cawan sehari.
Muhammad Faiz Nordin, 29, berkata, dia membelanjakan kira-kira RM1,000 bagi memenuhi kehendak menikmati kopi pada setiap bulan, bersamaan RM30 hingga RM40 sehari atau lima cawan kopi di kafe terkenal.
“Setiap hari saya mesti mendapatkan minuman kopi kerana jika tidak minum, saya rasa tidak boleh fokus bekerja seharian.
“Walaupun sedar ia membebankan kerana perlu mengeluarkan belanja yang banyak, saya tetap membelinya kerana ia membantu saya kekal bertenaga,” katanya.
Jurutera, Nur Aini Musa, 28, pula berkata, dia memperuntukkan kira-kira RM300 sebulan untuk minuman kopi jenis cafe latte (kopi susu) atau spanish latte (kopi susu ditambah susu pekat manis).
“Setiap hari saya akan beli satu atau dua cawan kopi sekitar pukul 10 pagi semasa bekerja dah sudah menjadi kebiasaan. Tabiat minum kopi ini bermula sekitar 2015 sewaktu saya belajar di peringkat diploma,” katanya.
Nur Aini berkata, akibat minum kopi setiap hari, dia kerap mengalami kembung perut atau gastrik dan doktor menyarankannya berhenti untuk tempoh sebulan.
“Selepas sebulan saya minum semula, tapi cuba kurangkan seperti tidak minum kopi untuk tempoh sehari dua. Saya juga tidak mengalami kembung perut selepas itu,” katanya.
Katanya, dia juga bersedia untuk menyediakan perbelanjaan tambahan sekiranya terdapat pengusaha kafe mahu menaikkan harga minuman kopi susulan laporan kenaikan harga biji kopi di peringkat global.
“Saya sukakan kelainan setiap biji kopi di kafe-kafe yang ada. Kenaikan harga tak menghalang minat untuk menjelajah kafe-kafe dan mencuba minuman baharu,” katanya.
Eksekutif pemasaran, Nabila Husna Razak, 32, berkata, dia juga tidak boleh memulakan hari tanpa kopi dan jika tidak meminumnya seharian, ia membuatkan dirinya tidak bermotivasi, sakit kepala selain lesu di tempat kerja.
“Setiap pagi, saya perlu minum kopi sebelum memulakan kerja. Jika tak minum, saya akan rasa lesu, sakit kepala dan tiada motivasi.
“Untuk perbelanjaan harian bagi kopi sahaja, saya habiskan kira-kira RM25 sehari untuk minuman berkenaan,” katanya.
Pelajar universiti, Megat Aidil Megat Awang, 25, berkata, dia kerap menghabiskan masa di kafe yang menyediakan minuman kopi untuk menyiapkan tugasan pensyarah sekali gus perlu mengeluarkan perbelanjaan untuk minuman tersebut.
“Kopi bukan sahaja membuat saya kekal fokus, tetapi juga tempat belajar di kafe memberi saya suasana yang selesa dan damai untuk menyiapkan tugasan.
“Namun, saya sedar tabiat ini membebankan kewangan kerana saya belanja sekurang-kurangnya RM20 sehari untuk minuman kopi sahaja,” katanya.
Kakitangan kerajaan mahu dikenali sebagai Ros, 39, berkata, perbelanjaan yang tinggi membuatkan dia memilih untuk membancuh kopi di rumah.
“Banyak kopi jenis ground coffee dijual dalam talian dan walaupun rasanya tidaklah sesedap kopi di kafe, tapi sekurang-kurangnya menjimatkan.
“Dalam sebulan, kira-kira 10 hingga 13 hari saya beli kopi di kafe. Jika tak minum kopi sehari, saya akan rasa pening, mengantuk dan pernah juga berhenti minum kopi dalam sehari, tak berjaya,” katanya.
















