fbpx
TANGKAP layar (Gambar kecil) video daripada CCTV penduduk di kawasan perumahan di Bertam, Kepala Batas dekat Seberang Perai yang diganggu dengan bunyi ketukan pintu misteri kelmarin.

Ketukan pintu, salam ‘kom… kom’ kembali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBERANG PERAI – Ribuan penduduk di beberapa taman perumahan di Bertam, Kepala Batas, di sini menjadi tidak se­nang duduk apabila kediaman mereka didakwa dihantui dengan ketukan misteri di pintu kayu utama selain kedengaran suara salam ‘kom… kom’, pagi kelmarin.

Nada suara lelaki yang sangat kuat dan bunyi ketukan pintu lebih lima kali itu telah mengejutkan puluhan penghuni kediaman dalam kejadian bermula kira-kira pukul 4.50 pagi itu.

Seorang pemilik kediaman di Taman Shahbandar yang hanya mahu dikenali sebagai Juliana, 47, mendakwa, dia terkejut sebaik terdengar ketukan dari pintu kayu hadapan rumahnya jenis teres setingkat.

Katanya, jarak pintu utama dengan pintu jeriji besi rumah­nya terletak hanya kira-kira 0.6 meter (dua kaki), manakala ke pagar besi utama sejauh 5 meter.

“Kejadian berlaku ketika saya bangun untuk bersiap ke tempat kerja. Memang cemas bila terde­ngar suara lelaki memberi salam ‘kom…kom’ sebanyak dua kali sambil beberapa kali mengetuk kuat pintu kayu utama.

“Nadanya seperti dalam kea­daan cemas dan marah pun ada, memang sangat kuat. Saya cuba selak langsir dan jenguk dari cermin tingkap bilik tidur utama sebelah pintu gril tapi tidak nampak langsung kelibat sesiapa.

“Saya langsung tak sahut. Bunyi ketukan dan suara salam itu kemudian bersambung hingga ke rumah jiran depan rumah dan berselang hingga dua, tiga buah rumah lain. Suara kuat itu lama-kelamaan menjadi semakin jauh dan terhenti sebaik ada jiran sebaris rumah menghidupkan enjin keretanya pada pukul 5.15 pagi,” katanya kepada Kosmo! Ahad semalam

Dia memberitahu, kejadian ketukan dan salam misteri itu merupakan pertama kali menghantuinya sejak dia menetap di taman berkenaan bermula 2011 dan dianggarkan lebih 20 penghuni di taman ini diganggu de­ngan kejadian misteri itu.

“Kejadian itu mula kecoh menerusi kumpulan WhatsApp komuniti pada siang hari. Rupanya kejadian itu bukan sahaja mengganggu kawasan taman kami malah penduduk di Taman Bentara dan Panglima juga turut dihantui dengan misteri itu.

“Menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang tular di media sosial (semalam) hanya dengar ketukan, tapi kami yang alami sendiri dengar suara berasa sebaliknya. Ia memang sangat aneh,” katanya jarak antara dua taman berkenaan terletak 500 meter dari Taman Shahbandar.

Jelasnya, sejak kejadian itu dia kini lebih berjaga-jaga dan akan memastikan setiap pintu masuk kediamannya ditutup selain dihadang dengan bakul buku.

Seorang lagi penduduk di Penaga juga mendakwa yang kediamannya turut diganggu de­ngan ketukan misteri dua malam berturut-turut, minggu lalu.

Dalam pada itu, menjengah di beberapa laman media sosial, rata-rata pengguna mendakwa kejadian itu mempunyai unsur mistik atau ilmu hitam. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN