SISTEM audio kini bukan sekadar tertumpu kepada kualiti bunyi yang dihasilkan, sebaliknya menitikberatkan keperluan untuk melengkapi estetika.
Kebanyakan produk audio masa kini juga hadir dengan pelbagai rekaan menarik bagi memenuhi nilai estetik individu.
Sebagai jenama audio premium yang menghasilkan pembesar suara menggabungkan reka bentuk artistik dan prestasi akustik mantap, Harman Kardon telah memperkenalkan Aura Studio 5.
Peranti berkenaan menampilkan bentuk kubah ikonik bagi identiti siri Auranya.
Model itu mempersembahkan gaya moden minimalis yang serasi dengan pelbagai ruang, sama ada ruang tamu, bilik tidur atau pejabat.
Berdasarkan penggunaan dan pandangan K-Tekno, Aura Studio 5 bukan sekadar peranti audio, tetapi elemen dekoratif yang mampu memperkayakan suasana dengan pencahayaan ambien diod paparan cahaya (LED) lembut dan elegan.
Reka bentuknya yang bertekstur fabrik premium serta pemegang terbina menjadikannya cantik dipandang dan mudah dialih mengikut kegunaan harian.
Dari segi prestasi bunyi, Aura Studio 5 menawarkan pengalaman audio 360 darjah yang menjadi kekuatan utama siri itu.
Dilengkapi subwoofer 5.2-inci yang menghasilkan hentaman bass lebih dalam dan padu, ia memberikan pengalaman audio mengasyikkan untuk pelbagai jenis muzik daripada jazz, akustik hingga EDM.
Harman Kardon mengekalkan identiti bunyi yang kaya, jernih dan seimbang, sekali gus menjadikannya sesuai untuk pengguna menghargai ketepatan vokal dan kejelasan instrumen tanpa bunyi terlalu berat atau ‘muddy’.

Walaupun reka bentuknya kompak, namun ‘kuasa’ bunyinya cukup memenuhi ruang bersaiz sederhana tanpa sebarang distorsi pada volum tinggi.
Ketersambungan merupakan salah satu kelebihan Aura Studio 5. Dengan teknologi Bluetooth yang stabil, pengguna boleh menstrim muzik dari telefon, tablet atau komputer tanpa gangguan.
Sambungan juga sangat intuitif, hanya hidupkan peranti, cari nama pembesar suara dalam tetapan Bluetooth dan siap untuk digunakan.
Bagaimanapun, model itu tidak lagi menyokong fungsi ‘daisy chain’ atau sambungan stereo berganda seperti generasi sebelumnya.
Ia mungkin mengecewakan sesetengah pengguna yang ingin menggabungkan dua unit pembesar suara untuk pengalaman bunyi lebih meluas.
Namun bagi kebanyakan situasi penggunaan, fungsi sedia ada masih memadai dan mudah digunakan.
Dari aspek penggunaan harian, Aura Studio 5 menawarkan pengoperasian yang ringkas. Butang fizikal yang terletak pada bahagian atas direka dengan kemasan minimalis dan memberikan tindak balas baik.
Lampu LED ambien di bahagian bawah pula memperhalusi suasana, terutama ketika digunakan pada waktu malam atau dalam ruang dengan pencahayaan rendah.

Walaupun ciri pencahayaan itu tidak boleh disesuaikan secara mendalam, namun tetap menambah nilai estetik dan mencipta mood lebih hidup ketika mendengar muzik atau menonton filem.
Bagi kekurangan, Aura Studio 5 tidak dilengkapi ciri pintar seperti Google Assistant atau Alexa yang kini semakin menjadi standard dalam pembesar suara moden.
Ia juga tidak mempunyai ‘port’ AUX, sekali gus menjadikan sambungan Bluetooth satu-satunya pilihan.
Namun begitu, kekurangan tersebut tidak menjejaskan kualiti asas Aura Studio 5 kerana produk itu lebih memfokuskan fungsi sebagai pembesar suara gaya hidup dengan keutamaan pada bunyi premium dan reka bentuk kemas.
Secara keseluruhan, Harman Kardon Aura Studio 5 adalah pilihan ideal untuk pengguna yang mahukan gabungan sempurna antara audio berkualiti tinggi dan estetika elegan.
Ia memenuhi keperluan mereka yang ingin menaik taraf sistem audio rumah tanpa perlu bergantung kepada set pembesar suara besar atau rumit.














