JITRA – Seorang wanita yang mengusahakan perniagaan ikan pekasam secara kecil-kecilan di rumah di Kampung Kemboja di sini mampu meraih pendapatan antara RM7,000 hingga RM10,000 sebulan.
Yushaiza Rusdi, 53, yang sudah 23 tahun berkecimpung dalam perniagaan itu berkata, dia menjual sehingga 1,000 kilogram ikan pekasam setiap bulan kepada pengedarnya di seluruh negeri ini selain mendapat tempahan dari luar negara.
“Ikan pekasam ini ada juga orang yang duduk di Dubai beli. Selain itu, saya jual kepada pengedar seluruh Kedah termasuk di Sungai Petani dan Alor Setar seperti di Pekan Rabu.
“Tempahan memang ikut permintaan. Kalau Ramadan memang tidak menang tangan kadang-kadang jadi berganda daripada hari biasa,” katanya ketika ditemui di Kampung Kemboja baru-baru ini.
Menurut beliau, dia kini mengusahakan perniagaan itu bersama anak perempuannya, Aina Syafika Natasya Mohamad Asri, 32, dan menantunya, Mohamad Arsyad Janudin, 40.
“Sejak lapan tahun lepas anak dan menantu saya ini membantu. Menantu yang bertanggungjawab mencari bekalan ikan seperti puyu, lampam, sepat dan haruan di sungai-sungai sekitar daerah ini. Ada juga yang membuat tempahan ikan laut tetapi jarang kerana orang suka ikan sungai,” ujarnya.
Tambah Yushaiza, ikan pekasam itu dijual pada harga borong antara RM15 hingga RM25 mengikut jenis ikan kepada pengedar mereka.
“Permintaan bertambah kerana pengedar sekarang menjual secara dalam talian di media sosial. Memang tidak menang tangan,” jelasnya.
Katanya, proses pembuatan ikan pekasam ini bukan mudah kerana melibatkan banyak peringkat termasuk menyiang, memerap dengan garam dan membalut dengan beras goreng tumbuk sebelum diperam beberapa minggu.
“Kami mengupah penduduk kampung untuk menyiang jadi dapatlah juga mereka duit poket,” ujarnya.
















