PADA 23 Disember ini, maka secara rasmi selesailah cabaran besar kepada semua pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi tahun 2025.
Peperiksaan tersebut bermula dengan ujian bertutur pada 3 November lalu melibatkan lebih 400,000 pelajar di seluruh negara.
Sesuatu yang menarik, SPM sebenarnya adalah pentas terakhir bagi seseorang itu bergelar pelajar sekolah, sebelum mereka memasuki fasa baharu sama ada sebagai penuntut kolej dan asasi ataupun sebagai pekerja.
Atas sebab itu, keputusan peperiksaan SPM sering dilihat sebagai penentu kepada hala tuju dan masa depan anak-anak.
Namun hakikatnya, SPM bukan noktah kepada perjuangan, sebaliknya ia adalah pintu masuk kepada dunia dewasa yang lebih mencabar.
Selepas tamat persekolahan, pelajar berdepan pelbagai pilihan yang akan menentukan hala tuju masa depan mereka. Ada yang memilih untuk melanjutkan pengajian ke universiti, politeknik atau kolej vokasional, manakala sebahagian lagi memasuki alam pekerjaan atau keusahawanan.
Setiap laluan mempunyai cabaran tersendiri dan memerlukan tahap kematangan yang tinggi untuk membuat keputusan yang tepat.
Kematangan pasca-SPM bukan sekadar kebolehan memilih institusi pengajian, tetapi keupayaan memahami minat, bakat dan kemampuan diri.
Ramai pelajar terperangkap dengan tekanan sosial, mengejar bidang ‘popular’ tanpa menilai kesesuaian jangka panjang. Akhirnya, mereka
hilang arah, tercicir atau terpaksa menukar haluan di pertengahan jalan.
Dalam konteks ini, ibu bapa tidak wajar menjadi penentu mutlak masa depan anak-anak. Pendekatan memaksa bukan sahaja melahirkan generasi yang hanya menurut perintah, tetapi turut membentuk manusia yang kurang berdikari.
Dunia selepas sekolah menuntut keupayaan berkomunikasi, mengurus emosi, mengendalikan tekanan dan membuat keputusan sendiri.
Pelajar yang matang ialah mereka yang mampu bangkit daripada kegagalan, belajar daripada kesilapan dan tidak mudah berputus asa.
Selepas SPM, tiada lagi loceng sekolah atau guru yang sentiasa memantau. Pelajar perlu mengurus jadual, kewangan dan komitmen sendiri.
Di sinilah nilai tanggungjawab diuji, sama ada mereka bersedia berdikari atau terus bergantung sepenuhnya kepada orang lain.
Dalam era digital, cabaran pasca-SPM menjadi lebih kompleks. Media sosial, gaya hidup mewah dan kejayaan segera yang dipaparkan secara maya sering mengaburi realiti.
Anak-anak yang tidak matang mudah terpengaruh, mengejar keseronokan jangka pendek hingga mengabaikan pembinaan masa depan yang kukuh.
Akhirnya, matlamat sebenar selepas SPM bukan semata-mata melahirkan anak yang berjaya di atas kertas, tetapi insan yang matang, berfikiran terbuka dan bertanggungjawab terhadap masa depan diri, keluarga dan masyarakat.















