fbpx
MEDIA sosial mendedahkan eksploitasi kanak-kanak lebih agresif, lebih tersusun dan lebih sukar dijejaki.

Lebih 100,000 kes aniaya seksual kanak-kanak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PENINGKATAN penganiayaan seksual kanak-kanak (CSAM) di Malaysia bukan lagi sekadar statistik terpencil, sebaliknya sudah menjadi gelombang ancaman nasional yang semakin sukar dibendung.

Bagi penulis, isu ini bukan sekadar soal jenayah, tetapi kegagalan seluruh ekosistem perlindungan kanak-kanak yang semakin ketinggalan berbanding kelajuan teknologi yang berkembang tanpa kawalan.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sendiri mengesahkan bahawa kes penganiayaan seksual kanak-kanak secara dalam talian kini berada pada tahap amat membimbangkan.

Menurut Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri, jumlah laporan sebenar dipercayai melebihi 100,000 kes dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini jauh lebih tinggi daripada angka yang pernah diumumkan secara umum.

Hakikat ini menunjukkan betapa besar jurang antara insiden sebenar dan kes yang dilaporkan, satu petunjuk jelas bahawa ribuan kanak-kanak mungkin menjadi mangsa dalam senyap.

Apa yang lebih membimbangkan ialah dapatan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang mendedahkan bahawa laporan berkaitan bahan CSAM meningkat 125 kali ganda di peringkat global hanya dalam enam bulan pertama tahun ini berbanding tahun lalu.

Peningkatan luar biasa ini menandakan kemunculan fasa baharu eksploitasi kanak-kanak yang lebih agresif, lebih tersusun dan lebih sukar dijejaki.

Sebagai wartawan, saya melihat peningkatan ini dipacu oleh beberapa faktor, pertama teknologi kecerdasan buatan (AI) kini digunakan untuk menghasilkan imej dan video palsu melibatkan wajah kanak-kanak tanpa memerlukan mangsa sebenar.

Kedua, platform media sosial dan aplikasi mesej segera yang semakin banyak menawarkan mod penyulitan penuh (end-to-end encryption) memudahkan penjenayah beroperasi tanpa dapat dikesan.

Ketiga, kesedaran ibu bapa masih rendah.

Lebih merisaukan adalah hakikat bahawa pola jenayah ini semakin berubah, daripada perbuatan individu terpencil kepada rangkaian global yang berkongsi bahan lucah melibatkan kanak-kanak secara tersusun.

Pakar Perang Saraf dan Penganalisis Keselamatan dan Politik Universiti Teknologi Mara, Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, peningkatan CSAM bukan hanya jenayah seksual semata-mata, tetapi kini menjadi sebahagian daripada serangan sosial hibrid yang memanipulasi psikologi dan tabiat sosial kanak-kanak.

Menurut beliau, pemangsa menggunakan elemen permainan dalam talian, komunikasi tanpa sempadan serta teknik perang saraf untuk memerangkap kanak-kanak tanpa mereka sedari.

“Ia dilakukan melalui algoritma, mod pencarian, serta taktik memancing emosi yang semakin licik,” katanya.

Beliau menambah, walaupun Malaysia mempunyai asas undang-undang dan dasar kanak-kanak baharu (2026-2030), tanggungjawab utama tetap terletak pada ibu bapa.

“Ibu bapa mesti melakukan audit media sosial anak-anak mereka sehingga mereka mencapai usia 18 tahun.

“Selain itu, intervensi ibu bapa bukan pilihan tetapi kewajipan keselamatan strategik keluarga,” ujarnya.

Beliau juga menekankan keperluan negara memperkukuhkan elemen algoritma keselamatan dan membina kerjasama lebih menyeluruh dengan penyedia platform, termasuk syarikat permainan dalam talian.

“Ini penting bagi memastikan sistem pengesanan awal (early detection) mampu memintas dan menjejak penyebaran bahan CSAM secara masa nyata,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN