fbpx
Penduduk mengharung air banjir susulan hujan lebat berterusan di Taman Bendahara, Pengkalan Chepa, Kota Bharu baru-baru ini. Foto oleh KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN

Jangan terlalu gembira dengan cuaca panas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BAH gelombang pertama yang melanda Kelantan pada 21 November lalu menjejaskan lebih 11,000 mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) dari 10 daerah.

Banjir kali ini tertumpu di kawasan berhampiran pantai dan muara seperti di Kota Bharu, Bachok, Pasir Puteh dan Tumpat. Kawasan yang terletak di lembangan Sungai Golok dan Sungai Kelantan terutama Pasir Mas yang secara tradisinya merupakan zon risiko tinggi bencana kurang terjejas ketika bah gelombang pertama.

Air juga cepat surut apabila semua PPS ditutup sepenuhnya pada 2 Disember lalu. Siri hujan berterusan di Kelantan baru-baru ini hanya berlaku dalam tempoh lima hingga enam hari sebelum cuaca panas dan kering melanda seluruh negeri itu.

Meskipun air surut, rata-rata penduduk di Pasir Mas dan Gua Musang sebelum ini tidak mahu pulang ke rumah kerana khuatir gelombang kedua akan berlaku dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, jangkaan mereka meleset apabila cuaca dilaporkan panas sejak hujung November lalu sehingga menyebabkan mangsa yang tinggal di PPS mengambil keputusan pulang ke rumah pada 2 Disember lalu.

Tidak seperti tahun lalu, tarikh 27 November hingga awal Disember merupakan tempoh getir banjir gelombang pertama di Kelantan apabila jumlah mangsa melebihi 100,000 orang di 10 daerah.

Mengulas mengenai cuaca panas ketika Monsun Timur Laut (MTL), Pensyarah Kanan Fakulti Sains Bumi, Universiti Malaysia Kelantan, Dr. Mohamad Faiz Mohd. Amin berkata, musim tengkujuh biasanya bermula pada pertengahan November hingga Mac tahun hadapan.

Katanya, sepanjang tempoh itu, terdapat episod hujan berterusan (monsoon surge) dan fasa monsoon break iaitu tempoh lebih panas atau kering antara dua gelombang hujan.

“Negeri di Pantai Timur termasuk Kelantan ketika ini berada dalam fasa jeda monsun kerana awan ribut kurang terbentuk disebabkan tiada sistem tekanan rendah yang aktif di Laut China Selatan.

“Bagaimanapun, episod hujan lebat masih boleh berulang sekiranya berlaku semula episod hujan berterusan dan sistem tekanan rendah di kawasan Pantai Timur,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurutnya, cuaca panas ketika ini tiada hubungan atau petanda untuk dikaitkan dengan banjir lebih buruk. Katanya, cuaca panas ketika ini menjurus kepada fasa jeda monsun atmosfera yang berada dalam keadaan sementara stabil.

“Bagaimanapun, orang ramai tidak boleh terlalu gembira dengan situasi cuaca panas yang melanda bukan sahaja di Kelantan, sebaliknya seluruh negara.

“Ini kerana, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menjangkakan beberapa episod hujan berterusan boleh menyebabkan banjir besar jika bertembung dengan air pasang besar,” ujarnya.

Beliau memberitahu, di Kelantan khususnya, Disember merupakan bulan puncak hujan dan secara klimatologi terdapat kemungkinan gelombang kedua banjir yang lebih buruk meskipun masa dan tempohnya tidak dapat dikenal pasti.

Tambahnya, pola hujan berterusan selepas ini mungkin boleh beralih ke arah hulu Kelantan, Hulu Terengganu atau sempadan Thailand yang mengakibatkan bah mengalir ke Sungai Kelantan dan Sungai Golok.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI