BANGKOK – Semangat tidak mahu mengalah selepas dipintas tiga pelumba seawal selekoh pertama menjadi kunci kebangkitan dramatik pelumba berbasikal bukit (MTB) negara, Zulfikri Zulkifli untuk meraih pingat perak Sukan SEA Thailand 2025 semalam.
Dalam aksi penuh mendebarkan di Si Racha, Chonburi, Zulfikri hampir berputih mata apabila ketinggalan di belakang kelompok utama, namun kayuhan bertenaga pada saat-saat akhir membolehkannya memintas pelumba tuan rumah dan Filipina untuk menaiki podium.
Kejayaan Zulfikri meraih perak acara cross country eliminator (XCE) dengan catatan masa satu minit 35.277 saat (s) menjadi ‘penawar’ duka kem MTB negara selepas kegagalan skuad wanita meraih pingat kelmarin.
Lebih membanggakan, Zulfikri menjadi pelumba lelaki pertama menyumbang pingat buat skuad MTB negara dalam sejarah penganjuran Sukan SEA selepas dia juga pernah memenangi emas ketika beraksi acara berpasukan campuran edisi Hanoi 2021.
Biarpun gagal mengejar pelumba sensasi Indonesia, Rendy Varera Sanjaya yang unggul merangkul emas dengan masa 1:31.690s, tindakan Zulfikri memintas Mark Louwel dari Filipina (1:41.859s) memastikan Malaysia membawa pulang pingat perak.
Mengimbau detik cemas tersebut, Zulfikri mengakui kesilapan percaturan awal hampir memakan diri sebelum bangkit mengejar semula untuk menaiki podium di Thailand.
“Saya berikan sehabis baik hari ini walaupun kecewa kerana impian sebenar adalah emas. Pada permulaan saya sudah berada di depan, tetapi selepas selekoh pertama, ketiga-tiga pelumba berjaya memintas saya.
“Saya bangkit mengejar semula dan berjaya mencari ruang untuk memintas pelumba Filipina dan Thailand. Saya cuba memburu Rendy tetapi jarak sudah agak jauh dan terpaksa berpuas hati dengan perak,” katanya.
Zulfikri turut menyifatkan kejayaan melepasi sasaran awal pingat gangsa itu sebagai satu pencapaian positif, selain menaruh harapan ia dapat mengubah nasib kariernya.
“Saya bangga biarpun sasaran asal hanya gangsa tetapi saya hadiahkan perak buat Malaysia. Saya harap keputusan hari ini dapat membantu perjalanan karier saya, terutamanya bagi mendapatkan elaun serta gaji yang lebih terjamin,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














