WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) meminta Thailand dan Kemboja segera menghentikan permusuhan ketika pertempuran di sempadan berlanjutan untuk hari ketiga semalam, menyebabkan sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh dan ratusan ribu lagi hilang tempat tinggal, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC).
“Kedua-dua negara mesti mematuhi langkah-langkah meredakan ketegangan seperti terkandung dalam perjanjian damai yang diusahakan oleh Presiden Donald Trump pada Oktober lalu,” kata Setiausaha Negara AS, Marco Rubio.
Sementara itu Trump berkata, beliau akan membuat panggilan telefon untuk menghentikan pertempuran tersebut. Ia merupakan peningkatan konflik paling serius sejak perang lima hari pada Julai lalu yang mengorbankan berpuluh-puluh orang.
“Saya rasa saya akan akan bercakap dengan kedua-dua negara esok (hari ini),” kata Trump kepada pemberita di White House.
“Mereka telah lama bertempur. Bagi saya, kedua-dua pemimpin negara itu adalah orang yang hebat.
“Saya pernah menyelesaikan (konflik) ini sekali, saya rasa saya boleh meminta mereka menghentikan pertempuran,” kata Trump seperti dipetik AFP.
Kedua-dua Thailand dan Kemboja saling menyalahkan pihak satu lagi kerana mencetuskan semula pertempuran yang menyaksikan serangan udara dan penggunaan senjata berat.
Jumlah kematian dalam tempoh tiga hari pertempuran meningkat kepada 15 orang termasuk askar Thailand dan orang awam di Kemboja.
Beberapa pegawai Thailand berkata, mereka telah memindahkan lebih 400,000 penduduk dari kawasan sempadan, manakala menurut Phnom Penh, lebih 100,000 orang di Kemboja telah dipindahkan ke tempat perlindungan. AFP/AGENSI














