PENGENDALI Selangor FC, Christophe Gamel mengakui pasukan mendapat pengalaman berguna selepas menamatkan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) di tangga tercorot susulan kekalahan kelima pada aksi terakhir Kumpulan G malam tadi.
Pada aksi di Stadium MBPJ, harapan Gergasi Merah untuk meraih kemenangan ‘saguhati’ tidak kesampaian selepas tewas 0-1 kepada Lion City Sailors hasil jaringan tunggal Tsiy-William Ndenge.
Menurut Gamel, pasukannya sudah mendapat pengajaran berguna kerana saingan ACL2 menuntut mana-mana kelab untuk beraksi secara konsisten kerana caraban yang diberikan cukup sengit.
“Saya rasa kami telah berikan tentangan tetapi sukar untuk menembusi benteng pasukan lawan yang memiliki kelebihan fizikal.
“Perlawanan seperti ini bagus untuk menguji serta memberi pengalaman baharu buat pasukan bagaimana cara menewaskan kelab yang hebat seperti Lion City Sailors.
“Saya harap pemain jadikan semua perlawanan ACL2 yang diharungi sebagai pengajaran kerana kami perlu lebih disiplin dan konsisten untuk berjaya pada masa akan datang,” katanya. – KOSMO! ONLINE














