PETALING JAYA – Pasport ‘suci’ tanpa sebarang cop keluar masuk negara berisiko tinggi untuk disekat di pintu masuk Korea Selatan, terutama jika pelancong gagal meyakinkan pegawai imigresen bahawa tujuan mereka hanyalah untuk melancong.
Menurut hantaran dimuat naik @syoktrip di akaun TikTok, pihak berkuasa imigresen Korea cenderung berhati-hati terhadap pemegang pasport kosong kerana bimbang mereka mempunyai niat lain seperti tinggal lebih masa (overstay) atau mencari pekerjaan secara tidak sah.
“Kalau pasport itu penuh dengan cop pelbagai negara, ia beri gambaran bahawa seseorang itu memang kaki melancong.
“Sejarah perjalanan ini secara tidak langsung membantu meredakan kebimbangan pegawai imigresen tentang risiko tinggal lebih masa,” katanya.
Selain itu, jelasnya, beberapa faktor utama lain yang sering menjadi punca pelancong Malaysia ‘tersangkut’ di imigresen Korea adalah tidak mempunyai K-ETA (Korea Electronic Travel Authorization) yang sah.
Setiap warga Malaysia berusia 18 hingga 64 tahun perlu mendapat kelulusan K-ETA untuk masuk tanpa visa bagi tujuan pelancongan sehingga 90 hari.
“Bukan itu sahaja, antara punca sangkut lain adalah gagal menjawab soalan pegawai imigresen dengan lancar dan meyakinkan,” katanya.
Tinjauan di ruangan komen mendapati ramai yang bersetuju dengan tips diberikan selain ada juga mencadangkan untuk bercuti ke negara lain yang lebih mudah prosesnya.
“Bagi aku, bukan sebab pasport semata tapi juga penampilan. ‘First impression’ mereka memang tinggi. Dorang tak suka penampilan yang selekeh. Kena kemas dan dokumen lengkap,” komen Lyla.
“Kalau susah sangat bercuti sahaja ke negara seperti Jepun atau China. Mudah sahaja lepasi imigresen tak banyak karenah,” kata Onie pula.
Baru-baru ini, tular dakwaan sekumpulan pelancong Malaysia ditahan berjam-jam dan dihantar pulang dari Korea Selatan meskipun mendakwa sudah menyediakan semua dokumen termasuk K-ETA, tempahan hotel dan tiket pulang.
Selain kumpulan pelancong itu, sepasang suami isteri serta anak berusia lima tahun juga antara ditahan di imigresen negara tersebut sebelum dipaksa pulang ke Malaysia.
Insiden itu mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan warga media sosial mengenai layanan imigresen negara itu terhadap rakyat Malaysia. – KOSMO! ONLINE














