SHAH ALAM – Menjadi hakim bukan soal menjadi popular atau mengejar populariti, sebaliknya melaksanakan amanah berlandaskan undang-undang dan fakta tanpa dipengaruhi tekanan luar.
Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid bin Wan Salleh berkata, integriti seorang hakim terletak pada keberanian membuat keputusan bersandarkan fakta dan undang-undang, walaupun ia sukar atau tidak disukai sesetengah pihak.
“Selagi keputusan dibuat berdasarkan fakta dan undang-undang, maka hati nurani kita sentiasa tenang dan kita berada di landasan yang betul. Menjadi silap jika kita membiarkan faktor luar mempengaruhi pertimbangan.
“Menjadi hakim bukan satu pertandingan popular, kita (hakim) bukan cenderung menjadi popular. Kita menjalankan tugas mengikut sumpah sebagai hakim dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan,” katanya pada sesi soal jawab dalam Syarahan Perdana Ketua Hakim Negara anjuran Fakulti Undang-Undang Universiti Teknologi Mara (UiTM), hari ini.
Wan Farid menegaskan bahawa sumpah seorang hakim tidak pernah mengiktiraf unsur populariti, sebaliknya mengikat mereka pada kewajipan mempertahankan prinsip keadilan.
Menurutnya, satu cabaran besar ketika ini ialah kecenderungan masyarakat menghakimi sesuatu kes melalui kumpulan siber yang sering membentuk persepsi tanpa asas kukuh sebelum proses perbicaraan bermula.
“Jadi, biar mahkamah menjalankan tugasnya. Pendakwa raya mengemukakan bukti, peguam bela mencabar keterangan, dan hakim menilai setiap hujah. Itulah proses sebenar keadilan,” katanya.
Beliau juga menegur salah faham terhadap peguam yang membela individu melakukan kesalahan, termasuk jenayah.
“Peguam bukan membela orang yang bersalah. Mereka membela orang yang dituduh. Undang-undang mengatakan setiap tertuduh dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.
“Jadi, peguam jenayah membela hak tertuduh, bukan bersalah. Tetapi ramai salah sangka, kononnya peguam hanya bela orang salah. Itu tidak benar,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE














