ANAK kedua daripada empat beradik ini tampil sebagai graduan cemerlang UPM yang aktif memimpin dan memberi inspirasi kepada orang lain.

Dulu ‘speech delay’, kini deklamator terbaik, graduan cemerlang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KETIKA zaman kanak-kanak, Intan Ayu Nadhirah Haris berhadapan dengan masalah lambat bercakap atau speech delay. Kesan daripada masalah itu membuatnya hilang keyakinan diri apabila membesar dan sukar untuk berkawan.

Walaupun berhadapan dengan masalah tersebut ketika zaman kanak-kanaknya, gadis berusia 24 tahun itu tidak menjadikannya sebagai satu kekurangan di dalam dirinya dan bukan penghalang untuk terbang tinggi. Malah, dia membuktikan dirinya juga boleh berjaya meskipun mempunyai masalah tersebut ketika zaman kanak-kanak.

Berbekalkan tekad yang kuat, Intan Ayu Nadhirah tampil sebagai graduan cemerlang Universiti Putra Malaysia (UPM) yang aktif memimpin dan memberi inspirasi kepada orang lain.

Intan Ayu Nadhirah yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Melayu dengan Kepujian berkata, disebabkan masalah pertuturan dia hanya mempunyai beberapa orang rakan ketika di sekolah rendah kerana sifatnya yang pendiam dan pasif.

“Memasuki sekolah rendah, saya sukar bergaul dan hanya berkawan dengan beberapa orang rakan kerana saya seorang yang sangat senyap disebabkan kesukaran bertutur.

“Namun, semuanya berubah apabila saya melangkah ke sekolah menengah.

“Berkat sokongan ibu bapa, rakan-rakan dan guru-guru, keyakinan diri saya mula dibina semula,” katanya yang menerima skrol ijazah pada Majlis Konvokesyen UPM ke-49 baru-baru ini.

KELUARGA menjadi penyokong terbesar Intan Ayu Nadhirah (dua dari kiri) untuk mengejar cita-citanya.

Perubahan terbesar berlaku apabila seorang guru bahasa Melayu memperkenalkannya kepada dunia deklamasi puisi dan pertandingan bahasa Melayu.

Pendedahan itu mencetuskan keberanian baharu dalam dirinya.

“Sejak itu keyakinan saya berkembang dan ketika berusia 15 tahun, saya berjaya meraih gelaran Deklamator Terbaik Sayembara Puisi dan Lagu Peringkat Negeri.

“Pencapaian itu membuka mata saya bahawa kekurangan bukan penghalang untuk berjaya, malah boleh menjadi kekuatan jika diasah dengan betul,” jelasnya yang merupakan anak kedua daripada empat beradik.

Perjalanan peribadinya itulah yang mendorong Intan Ayu Nadhirah memilih bidang pendidikan bahasa Melayu sebagai laluan kerjaya.

Dia yang berasal dari Batu Kikir, Negeri Sembilan, berhasrat mahu membantu kanak-kanak yang menghadapi masalah speech delay sama seperti dirinya untuk keluar daripada masalah itu.

“Saya memilih jurusan ini kerana mahu membantu kanak-kanak yang berdepan cabaran seperti saya dahulu.

“Saya percaya setiap individu mempunyai bakat tersendiri dan sebagai guru kelak, saya mahu mencungkil serta membimbing potensi mereka ke hadapan,” jelasnya.

INTAN AYU NADHIRAH (tengah) kini berkhidmat sebagai guru ganti di sebuah sekolah di Negeri Sembilan.

Selain kecemerlangan akademik, Intan Ayu Nadhirah turut menyerlah dalam kepimpinan mahasiswa apabila diberi amanah memegang jawatan Majlis Tertinggi Majlis Perwakilan Pelajar UPM serta Yang Dipertua Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung UPM sepanjang pengajiannya.

Menurutnya, dahulu dia seorang yang takut untuk bersuara.

“Hari ini, saya bersyukur kerana saya kini menjadi suara untuk orang lain dan berpeluang membantu pelajar yang menghadapi cabaran terutamanya masalah pertuturan seperti yang pernah saya lalui,” terangnya..

Kisah kejayaan, Intan Ayu Nadhirah menjadi bukti bahawa perjalanan hidup yang bermula dengan kekurangan tidak menentukan masa depan seseorang.

Dengan sokongan, bimbingan guru dan usaha berterusan, kekurangan itu kini menjadi kekuatan yang mendorongnya melangkah ke dunia pendidikan untuk memberi inspirasi kepada generasi seterusnya.

Intan Ayu Nadhirah berkata, dia kini sedang berkhidmat sebagai guru ganti di sebuah sekolah di Negeri Sembilan.

“Selepas ini, saya akan memohon untuk menjadi seorang guru secara tetap kerana itu merupakan cita-citanya sejak kecil,” katanya menutup bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN