fbpx
AMINASUFI AININNAIM bersama ibu bapanya selepas menerima Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Grafik di UiTM, Shah Alam baru-baru ini.

‘Nama saya Aminasufi Aininnaim Manisalamuhibahati Aminjaya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seorang graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) menjadi sorotan di media sosial selepas namanya yang luar biasa panjang diumumkan semasa majlis konvokesyen yang diadakan baru-baru ini.

Menariknya ini bukan pertama kali, Aminasufi Aininnaim Manisalamuhibahati Aminjaya, 23, tular kerana keunikannya itu pernah mencuri perhatian ramai pada majlis konvokesyen tahun lalu ketika mengambil sijil Diploma Seni Reka Grafik dan Media Digital.

Anak kedua daripada empat beradik itu berkata, dia terhibur membaca komen pengikut di TikTok serta mengakui sudah terbiasa dengan reaksi orang ramai setiap kali namanya disebut di khalayak.

“Dalam video tular itu, pembaca nama graduan menyebut nama saya dalam satu nafas. Ramai yang kagum. Kebetulan tahun lepas saya ambil diploma pun pembaca yang sama sebut nama saya.

“Saya baca semua komen dan saya terhibur. Saya berterima kasih atas ucapan dan doa yang baik-baik. Sebenarnya yang panjang itu nama bapa saya, nama saya pendek sahaja. Adik beradik saya pun semua nama biasa sahaja,” katanya ketika di hubungi Kosmo Ahad!

Aminasufi yang memegang Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Grafik (Kepujian) berkata, dari sekolah rendah lagi, dia telah berdepan dengan reaksi yang sama daripada guru, kawan-kawan dan orang yang baru mengenalinya.

“Memang selalu dapat reaksi yang sama apabila orang dengar nama saya. Ada yang minta saya ulang, eja semula. Kawan-kawan sampaikan buat pertandingan siapa boleh sebut nama penuh saya dalam satu nafas. Setiap kali peperiksaan pun saya akan tulis nama pendek dahulu, apabila dah siap baru saya tulis nama penuh kalau sempat,” ujarnya.

Bertanya tentang nama bapanya yang unik, Aminasufi berkata, keunikan nama bapanya adalah hasil pemberian datuknya, Abdul Rahman @ Baharum bin Basar, 104.

Sementara itu, ibu saudara Aminasufi, Atinaayati As­ma­amarsita, 55, minat mendalam ba­panya, Abdul Rahman, terhadap dunia sastera menjadi jawapan kepada persoalan di sebalik keunikan nama-nama adik-beradiknya itu.

Atinaayati merupakan anak ke-10 daripada 11 adik-beradik iai­tu Rasanubari Asmaramah, Ba­ru­pawati Utamaju, Kasumabari Masjuriah, Awasilahati Kitajriah, Ahmaduniawi Rahimin, Suasanamasra Saubissabriah, Shamshul Mardiyyah, Halumahilyatun Halamarata, Manisalamuhibahati Aminjaya dan Ayuakbari Hasbiallah.

“Bapa sangat suka karya-karya sastera macam sajak dan puisi dari zaman mudanya lagi sebab itu bapa sangat kreatif apabila memberi nama kepada kami adik-beradik. Dia suka sambung-sambung kan perkataan supaya menjadi satu nama.

“Macam nama saya, Atinaa asal dari doa ‘Rabbanaatina fid­du­nya hassanah’, asma nama pahlawan wanita Islam dan Marsita, tukang sikat kepada anak perempuan Firaun. Begitulah, bapa akan ambil sikit-sikit dan gabungkan,” katanya.

Ujar ibu kepada lima anak itu, setiap nama yang diberikan bapanya mempunyai makna dan kisah tersendiri termasuklah meng­gabungkan sekali nama Allahyarham ibunya, Rasinah Nazar yang meninggal dunia pada tahun 2008.

“Macam nama kakak sulung sa­ya, Rasanubari Asmaramah, Ras tu mengambil nama arwah ibu, kemudian sanubari tu, se­per­ti kasih sayang dari mak se­bab anak pertama kan.

“Kemudian ada kisah yang lain ketika itu bapa saya pindah balik ke kampung arwah mak. Ayah saya orang Jawa, jadi orang kampung nak terima orang luar agak susah sedikit. Jadi dengan cabaran tu, dia letak nama kakak saya nombor enam, Suasanamasra Saubissabriah, bermaksud suasana mesra tetapi perlu banyakkan bersabar,” katanya.

Kini, meskipun telah dimamah usia, Atinaayati berkata, bapanya masih mengingati kesemua nama penuh 11 anak serta cucu-cucunya setiap kali bertemu selain masih kuat dan kerap mengaji dan kadang-kala membaca kembali puisi atau sajak-sajak yang diciptanya dahulu secara ber­sahaja.

“Kami adik-beradik pun keba­nyakan jiwa memang ke arah sastera dan ada di antara kami memang mengikuti jejak langkah bapa menjadi penulis dan sebagainya. Legasi memberi nama anak-anak tidak disambung kerana kami tidak sekreatif bapa.

“Macam saya nama anak panjang-panjang juga tapi biasa, tak seunik nama kami. Macam kami adik-beradik, kadang kita tak kenal orang tapi orang kenal kita sebab ingat nama kita. Apa-apa pun, selari dengan nama indah pemberian bapa begitu juga adab dan keperibadian yang kami mahu tonjolkan kepada orang lain,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN