PETALING JAYA – Keseronokan seorang wanita menikmati hidangan bertukar mimpi ngeri selepas sup yang dimasak atas dapur gas mudah alih untuk memasak ‘steamboat’ meletup dan terpercik dalam kejadian di sebuah restoran dekat sini.
Akibat letupan itu, bahagian muka dan matanya melecur kerana terkena sup panas.
Menerusi perkongsian wanita berkenaan, kejadian bermula apabila sup yang dimasak meletup secara tiba-tiba sebelum percikan kuah panas yang penuh dengan cili terkena pada muka dan termasuk mata.
“Ketika itu saya sedang menikmati sup ‘hotpot’, tiba-tiba sup itu terpercik. Lebih perit apabila sup pedas itu masuk ke dalam kanta lekap, rasa pedihnya memang tidak tertahan.
“Sup itu bukan sahaja panas, malah pedas. Saya terus meraung menahan sakit sambil bergegas ke tandas untuk mencuci mata,” katanya.
Lebih mengecewakan, katanya, pekerja restoran didakwa tidak menghulurkan sebarang bantuan seolah-olah kejadian itu berpunca daripadanya.
“Masa saya ke tandas, tiada seorang pun staf yang datang bertanya keadaan. Malah, apabila saya balik ke meja, saya pula yang kena jeling seolah-olah dipersalahkan atas kejadian tersebut.
“Tiada pekerja yang menjelaskan bahawa percikan boleh terjadi sekiranya tidak menambah sup. Saya mengaku salah kerana tidak menambah sup, namun tidak tahu situasi itu boleh berlaku,” dakwanya.
Tinjauan Kosmo! mendapati wanita tersebut tidak perlu membayar hidangan tersebut akibat insiden berkenaan, bagaimanapun laporan polis sudah dilakukan.
Menurutnya, dia masih mempertimbangkan untuk mengambil tindakan lanjut atas keselamatan pelanggan kerana perkara itu perlu diberi perhatian kerana insiden sedemikian didakwa pernah terjadi kepada pelanggan lain.
“Insiden ini memang membuatkan saya trauma untuk makan di restoran hotpot selepas ini terutama dengan sikap pekerja yang tidak peka dengan pelanggan,” katanya.
















