KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) menerima pelajar antarabangsa tertinggi tahun lalu.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata, tiga universiti itu merekodkan pengambilan sebanyak 27,669 pelajar antarabangsa.
Menurut beliau, pelajar antarabangsa paling ramai direkodkan di tiga universiti awam (UA) tersebut antaranya dari China, Indonesia dan Bangladesh.
“Keseluruhan 53,322 pelajar antarabangsa diterima di 20 UA tahun lalu,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Lee Chuan How (PH-Ipoh Timor) mengenai UA yang mempunyai pelajar antarabangsa paling ramai.
Mustapha berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan memperkenalkan sistem kemasukan pelajar antarabangsa secara berpusat ke universiti di negara ini.
Ujar beliau, Langkah itu selaras hasrat menjadikan negara hab pendidikan tinggi serantau.
Tambah beliau, KPT menumpukan kepada pengambilan pelajar antarabangsa di peringkat pasca siswazah kerana mahu bidang penyelidikan ditingkatkan dengan kepakaran mereka.
Katanya, bagi peringkat prasiswazah atau aliran perdana, tumpuan diberikan kepada pelajar tempatan. – KOSMO! ONLINE














