DI sebalik kesibukan, perairan sekitar Port Klang sebenarnya hidup dengan pelbagai spesies ikan permainan yang sering menjadi buruan kaki jigging. Itulah sebabnya kawasan ini sentiasa menjadi pilihan saya dan rakan-rakan setiap kali jiwa mula terasa hendak jigging.
Royal Selangor Yacht Club (RSYC), bukan nama asing dalam kalangan pemancing. Hampir semua tekong di sini akan berlabuh dan mengambil pemancing di jeti ini sebelum memulakan perjalanan ke lubuk masing-masing.
RSYC yang terletak betul-betul dalam kawasan Pelabuhan Klang memberi suasana unik, deretan kapal dagang, bunyi enjin besar dan angin laut menyapa muka sebaik sahaja melangkah ke atas bot.
Bagi saya, setiap kali memijak jeti RSYC, perasaan semangat dan teruja mula membuak. Ada sesuatu tentang suasana pelabuhan yang membuatkan trip jigging di sini rasa lebih ‘hidup’.
Trip
Kebiasaannya, saya akan turun bersama bot Jojos dengan tekong Wan. Tepat pukul 8 pagi, bot mula meninggalkan jeti menuju ke laut lepas. Perjalanan keluar dari pelabuhan itu sendiri sudah cukup untuk menaikkan adrenalin.
Kelihatan kapal dagang sebesar bangunan melintasi laluan kami, seakan-akan dinding besi terapung yang bergerak perlahan. Dalam hati, timbul satu rasa bangga, negara kita masih lagi sibuk dengan keluar masuk dagangan, menandakan ekonomi yang terus bernyawa.
Seperti biasa, tekong akan berhenti sebentar di ‘boya’ terdekat untuk memungut umpan sotong kurita. Sotong kurita ini memang dianggap sebagai ‘insurans’. Jikalau jig tidak diendahkan ikan, sotong ini masih boleh jadi penyelamat untuk mendapatkan hasil.
Suasana ketika mengutip sotong pun kadang-kadang mencuit hati, ada yang tersangkut dua ekor sekali, ada yang terlepas sebab terlebih teruja, dan ada juga yang sibuk memuji sotong seolah-olah sotong itu faham. Lepas selesai urusan mendapatkan ‘insurans’, barulah kami bergerak ke lokasi pertama.
Boron
“Boron,” kata tekong dengan nada yakin ketika hanyutan pertama berlangsung.
Boron adalah nama manja bagi ikan kerapu bersaiz kasar yang kebiasaannya bersaiz antara tujuh hingga belasan kilogram seekor.
Dalam dunia jigging Port Klang, apabila tekong sebut boron, semua orang automatik akan setting drag elok-elok. Seakan-akan kata-kata sakti, tidak lama kemudian kedengaran teriakan strike.
Joran melentur, drag menjerit panjang. Setelah pertarungan agak lama, seekor boron ‘mini’ berjaya didaratkan. Bagi kaki jigging, ini petanda sangat memberangsangkan, ikan sedang galak membuka mulut dan melayan tarian jig di dasar.

Drift demi drift diteruskan, selepas beberapa kali berhanyut tanpa apa-apa yang memagut jig, tekong terus bergerak ke lokasi seterusnya.
Di sini, rezeki benar-benar menyebelahi kami, dua ekor jenahak bersaiz ‘bantal’ berjaya dinaikkan hampir serentak, double strike yang jarang-jarang berlaku.
Orang kata, kalau rezeki itu datang, ia akan hadir bertalu-talu. Scene fight jenahak itu betul-betul bikin jantung berdegup kencang.
Tarikannya solid, berat dan sangat memuaskan apabila akhirnya ‘bantal keemasan’ itu timbul di permukaan air.
Sesi pagi diakhiri dengan beberapa ekor ikan gerut-gerut dan kerapu saiz kecil. Walaupun tak sebesar mana, namun ia tetap menceriakan suasana di dalam bot.
Dalam arena jigging, setiap sambaran, besar atau kecil tetap memberi rasa seronok yang sukar digambarkan dengan kata-kata.
Tambahan pula, apabila bersama rakan-rakan yang kaki bergurau, setiap peristiwa kecil pun boleh jadi bahan ketawa.
Sesi petang
Masuk sesi petang, keadaan laut mula lenang dan arus memihak kepada kami. Satu situasi yang cukup-cukup sesuai untuk slow pitch jigging. Benar seperti apa yang dijangkakan, tiba-tiba kami didatangkan dengan asakan bertubi-tubi daripada ikan merah. Jig yang turun tak sempat sampai dasar, sudah ada yang disergap.
Double dan triple strike berlaku beberapa kali hingga tekong sendiri naik semangat. Ada yang drag tidak sempat set, ada yang terlampau ghairah sampai sembat joran pun berterabur. Memang gamat satu bot, inilah highlight trip kali ini.

Apa yang saya suka tentang jigging di Port Klang adalah keputusannya yang tidak dijangka. Kadang-kadang arus deras tidak boleh jigging langsung, kadang-kadang pula arus perlahan tetapi ikan buat perangai tidak mahu makan jig.
Namun, apabila Port Klang ‘membuka pintu rezeki’, ia memberi hasil yang benar-benar padu. Kombinasi struktur dasar seperti kapal karam, paloh, tebing pasir dan kawasan berkarang membuatkan perairan ini menjadi lubuk pelbagai spesies buruan seperti jenahak, boron, merah, aruan tasik dan juga sagai.
Setiap kali bot berpatah balik ke RSYC menjelang senja, ada rasa ‘puas’ yang sukar digambarkan. Badan penat, tangan lenguh tetapi hati penuh.
Walaupun perairan Port Klang tidak sejernih laut di Pantai Timur dan suasananya tidak seindah perairan peranginan, namun ia tetap mempunyai karakter tersendiri yang membuat saya sering kembali lagi.
Trip kali ini bukan saja memberi hasil tetapi juga mengingatkan saya tentang satu perkara. Dalam mencari rezeki di laut, perkara paling berharga bukanlah ikan yang kita bawa balik tetapi pengalaman dan gelak tawa kita bersama.
Seperti biasa, sebelum pulang ke rumah masing-masing, kami sudah bincang tarikh untuk turun lagi. Port Klang sememangnya tidak pernah menghampakan.















