fbpx
ALLAHYARHAM Syamsul Haris.

Tiada sesiapa akan dilindung berkait kes kematian Syamsul Haris – UTM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bersedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa susulan keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) mengklasifikasikan semula kes kematian kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes), Allahyarham Syamsul Haris Shamsuddin sebagai kes bunuh.

UTM dalam kenyataan menegaskan institusi itu tidak akan melindungi sesiapa, sekali gus menunjukkan komitmen kukuh untuk memastikan siasatan kali ini dijalankan secara menyeluruh tanpa sebarang ‘titik gelap’ yang tercicir.

“UTM berpegang kepada prinsip ketelusan dan kedaulatan undang-undang. Segala urusan siasatan kami serahkan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“UTM juga mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan memohon semua pihak termasuk warga universiti dan orang awam, tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan yang sedang berlangsung,” katanya di sini hari ini.

Semalam, AGC mengarahkan kes kematian Allahyarham Syamsul Haris diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Akta 574).

Keputusan itu dibuat AGC berpandukan laporan siasatan dibuka PDRM ke atas kematian Allahyarham Syamsul Haris.

Syamsul Haris, 22, meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi pada 28 Julai lalu selepas menjalani latihan di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat di Ulu Tiram sebelum dikebumikan keesokannya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Semenyih, Selangor.

Pada 30 Ogos lalu, bedah siasat kedua terhadap jasad Allahyarham Syamsul Haris dilaksanakan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan jenazah dikebumikan semula di tanah perkuburan berkenaan pada hari sama. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN