KANGAR – Kerajaan Negeri Perlis menangguhkan cadangan pelaksanaan Projek Rintis Zon Aliran Bebas (ZAB) Wang Kelian susulan kejadian banjir yang menyebabkan berlakunya tanah runtuh di sepanjang laluan utama ke sempadan Thailand.
Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, keputusan itu dibuat selepas Mesyuarat Penyelarasan Cadangan Pelaksanaan Projek Rintis ZAB Wang Kelian bersama jabatan teknikal dan agensi penguatkuasaan pada 1 Disember lalu bersetuju supaya projek tersebut ditangguhkan.
“Penangguhan dibuat kerana berlaku insiden tanah runtuh di 11 lokasi di laluan Wang Kelian menuju ke Wang Prachan, Thailand semasa bencana banjir minggu lepas.
“Jabatan Kerja Raya Perlis menilai keadaan di lokasi tersebut sebagai tidak selamat dan mencadangkan laluan itu ditutup sementara kecuali kepada kenderaan ringan,” katanya pada sidang akhbar di Kompleks Seri Putra, di sini hari ini.
Menurut beliau, kerja-kerja pembaikan yang sedang dijalankan dijangka mengambil masa antara enam hingga 12 bulan untuk disiapkan dan projek rintis hanya akan diteruskan selepas laluan disahkan benar-benar selamat. – KOSMO! ONLINE














