DALAM era pasca pandemik Covid-19, sektor penjagaan kesihatan semakin menekankan kepentingan kebersihan tahap tinggi terutamanya di kawasan berisiko seperti hospital.
Cabaran pertambahan pesakit, kekangan kakitangan dan keperluan sanitasi yang ketat telah mendorong banyak fasiliti kesihatan global mengadaptasi teknologi automasi.
Salah satunya adalah dengan menggunakan robot yang dipanggil UVD Robot Pharma bagi membersihkan dan menyah kuman pada permukaan secara automatik dengan lebih konsisten, tepat serta menyeluruh.
Penggunaan robot pembersih kolaboratif itu mula membuktikan keberkesanan dalam mengurangkan jangkitan silang, seterusnya meningkatkan keselamatan pesakit dan kakitangan perubatan di hospital.
Robot itu juga mampu mengendalikan sanitasi secara efisien tanpa pemantauan petugas kesihatan, sekali gus dapat mengurangkan risiko jangkitan kuman kepada pekerja pembersihan.
Perkara tersebut dapat dibuktikan apabila pasukan mikrobiologi AstraZeneca melakukan ujian ke atas robot autonomi yang direka menggunakan sinaran ultraviolet-C (UV-C). Ia berupaya membasmi kuman permukaan ruangan tanpa menggunakan bahan kimia.
Kemampuan navigasi autonomi, sensor pintar dan penggunaan teknologi pembasmian kuman canggih membolehkan robot terbabit mengesan ruang yang memerlukan pembersihan intensif serta konsisten.
Matlamat ujian tersebut adalah untuk mengenal pasti tahap kemampuan teknologi UVD Robot Pharma sama ada mampu mengawal pencemaran mikrob dalam persekitaran farmaseutikal atau tidak.
Menurut jurucakap AstraZeneca di Cleanroom Technology, kemampuan robot tersebut dicabar dengan beberapa jenis mikroorganisma seperti yis dan spora yang biasanya ditemui dalam bilik bersih (ruang khas seperti bilik bedah serta makmal analisis, dan pengilangan ubat-ubatan).
“Keputusan menunjukkan bahawa robot tersebut berjaya mengurangkan bakteria dan yis kira-kira 99.9 peratus pada dos ultraungu (UV) sederhana.
“Spora yang lebih kuat pula memerlukan dos UV yang lebih tinggi untuk mencapai hasil sama. Namun, kejayaan itu sesuatu yang dapat dibanggakan,” katanya mengenai robot keluaran Blue Ocean Robotics itu.

Kemudian, para penyelidik menguji UVD Robot Pharma bagi mengetahui prestasi kesan UV-C pada permukaan kaca, keluli dan vinil.
“Bahan-bahan ini biasanya digunakan dalam persekitaran bilik bersih. Disebabkan permukaannya yang licin, bakteria boleh berjangkit dengan mudah.
“Panel keluli tahan karat menyumbang lebih daripada 40 peratus pemasangan bilik bersih di seluruh dunia,” ujarnya.
Keputusan ujian menunjukkan bahawa robot dengan kemampuan UV-C itu mempamerkan prestasi berkesan terhadap pelbagai permukaan licin.
Robot itu juga mampu beroperasi di luar waktu puncak seperti selepas masa lawatan pelawat atau pada waktu malam.
Dengan pemetaan ruang menggunakan teknologi LiDAR (menggunakan laser untuk mengukur jarak) dan sensor kedalaman, robot dapat bergerak secara kendiri tanpa mengganggu aktiviti klinikal harian.
Ini membolehkan kakitangan hospital menumpukan tenaga kepada tugas yang lebih kritikal seperti penjagaan pesakit, pemindahan peralatan atau pemantauan keselamatan.
Hakikatnya, automasi dalam pembersihan bukan sahaja meningkatkan kecekapan operasi, malah membantu mengurangkan beban kerja yang sebelum ini banyak bergantung kepada tenaga manusia.
Bagaimanapun, kemampuan UVD Robot Pharma masih perlu dipertingkatkan terutama menghapuskan organisma pembentukan spora pada permukaan keluli tahan karat.
“Ini kerana masih terdapat sudut, permukaan dan rintangan ke atas objek yang berpotensi menjejaskan prestasi robot,” katanya.
Namun begitu, tidak dinafikan robot terbabit mampu menjadi alat berharga untuk kebersihan bilik bersih yang menawarkan perkhidmatan pantas, selamat dan mengawal pencemaran secara sistematik.
Bagi memastikan keberkesanan, robot itu diprogram mengikut laluan dan lokasi tertentu untuk memastikan pendedahan UV-C yang optimum pada semua permukaan.
Sebelum operasi, kakitangan harus memastikan bilik atau kawasan tersebut kosong daripada manusia dan haiwan kerana bimbang pendedahan langsung kepada cahaya UV-C.
Pintu juga akan ditutup, sebelum operator menghantar robot ke lokasi yang dikehendaki dan memulakan program pembasmian kuman menggunakan tablet atau telefon pintar.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Blue Ocean Robotic, Thomas Knudsen berkata, dia meletakkan harapan tinggi terhadap UVD Robot Pharma bagi mencetuskan revolusi positif kepada mesin pembersihan autonomi di hospital dan industri farmaseutikal.
“Kami sentiasa berusaha untuk memberikan yang terbaik kepada masyarakat dengan menggunakan kemahiran dan teknologi seiring perkembangan semasa.
“Saya berharap untuk melihat robot ini digunakan secara meluas di pusat perubatan dapat terlaksana,” ujarnya dalam Science Project Ideas.
Untuk makluman, Hospital Universiti Odense di Denmark merupakan perintis dalam pembangunan awal dan ujian robot tersebut.















