SKUAD bola b-23 negara berpeluang untuk mendapat laluan yang lebih mudah di pentas Sukan SEA selepas undian semula terpaksa diadakan ekoran penarikan diri Kemboja.
Berdasarkan reputasi terkini, tiga negara iaitu tuan rumah, Thailand, Indonesia dan Vietnam dilabel sebagai ancaman utama kepada skuad kendalian Nafuzi Zain pada edisi kali ini.
Sekiranya mendapat lawan lebih mudah, peluang skuad negara untuk perbaiki pencapaian dilihat agak cerah selepas dipalit kegagalan untuk melepasi saingan peringkat kumpulan pada edisi 2023.
Mengikut perbandingan rekod pertemuan, Malaysia perlu mengelak berdepan Thailand dan Vietnam memandangkan kedua-dua negara meraih kemenangan pada pertemuan dalam saingan Kumpulan B edisi lepas.
Peluang dilihat masih seimbang sekiranya skuad Bawah 23 Tahun (B-23) berada dalam satu kumpulan dengan Indonesia yang bakal hadir selaku juara bertahan.
Sehingga kini belum ada ketetapan dibuat, malah Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dikhabarkan belum mendapat sebarang maklum balas terkini daripada pihak penganjur berhubung perkara ini
Bagaimanapun, undian semula dilihat langkah ideal memandangkan Kumpulan A yang sepatutnya membabitkan Kemboja pada undian awal sebelum ini kini hanya tinggal dua pasukan iaitu Thailand dan Timor Leste.
Undian sebelum ini menyaksikan Malaysia berada dalam Kumpulan B bersama Vietnam dan Laos, manakala Kumpulan C membabitkan Indonesia, Myanmar, Filipina dan Singapura.
Terdahulu, menerusi satu surat yang ditandatangani Setiausaha Agung Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan Kemboja, Vath Chamrouen mengesahkan negara itu hanya akan menyertai 13 acara sukan dan menarik diri daripada bola sepak, judo, karate, pencak silat, gusti, wushu, petanque, bola sepak dan sepak takraw.















