fbpx
Nicholas (tengah) dalam sidang akhbar selepas majlis penyenaraian hari ini.

Saham Foodie Media dibuka 18 peratus lebih tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Foodie Media Berhad (Foodie Media) bermula dengan langkah kanan di Pasaran ACE Bursa Malaysia hari ini apabila sahamnya dibuka pada harga 35.5 sen, iaitu premium 5.5 sen atau 18.33 peratus lebih tinggi berbanding harga tawaran permulaan (IPO) pada 30 sen sesaham.

Syarikat media digital yang terkenal dengan akaun media sosial KL Foodie itu merekodkan jumlah dagangan pembukaan sebanyak 15.29 juta unit saham dan berjaya mengumpul sebanyak RM41.4 juta menerusi terbitan IPO.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nicholas Lim Pinn Yang berkata, penyenaraian itu merupakan satu pencapaia utama bagi syarikat, dengan permodalan pasaran kira-kira RM266 juta.

“Kami amat bersyukur atas sokongan padu daripada komuniti pelabur, dengan bahagian awam terlebih langgan sebanyak 24.6 kali, manakala bahagian institusi juga dilanggan sepenuhnya.

“Keyakinan ini membuktikan kekukuhan platform kami dan potensi visi jangka panjangnya, manakala dasar dividen untuk mengagihkan sekurang-kurangnya 40 peratus daripada keuntungan selepas cukai mencerminkan komitmen kami untuk memberikan nilai kepada pemegang saham.

“Melihat ke hadapan, fokus kami adalah mengukuhkan tonggak utama iaitu penerbitan media digital, pemasaran KOL (key opinion leader), perdagangan afiliasi dan pengurusan kempen, sambil memperkembangkan vertikal baharu seperti perdagangan langsung serta penerbitan drama pendek,” katanya pada sidang media selepas majlis penyenaraian syarikat.

Mengulas lanjut, Nicholas berkata, Foodie Media berada dalam segmen yang tepat di mana perhatian pengguna kini adalah pada platform digital dan berasaskan mudah alih.

“Pada dasarnya, perhatian pengguna telah berubah. Di mana sahaja perhatian pengguna berada, kami ingin berada di situ.

“Melihat kepada data, segmen ini masih akan berkembang untuk dekad akan datang. Kami yakin segmen yang kami ceburi ini adalah sangat sihat dan positif,” ujarnya.

Foodie Media mengendalikan portfolio 37 jenama berfokuskan gaya hidup merentasi lima negara di Asia Tenggara iaitu Malaysia, Singapura, Thailand, Indonesia dan Filipina, yang menyampaikan kandungan menarik serta dipacu data bagi menghubungkan jenama dan pengguna.

Sehingga 13 Oktober 2025, ia mempunyai jumlah pangkalan pengikut terbesar bagi syarikat kandungan digital berfokuskan gaya hidup di Malaysia dengan kira-kira 46 juta pengikut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI