SRG mencatat kejuaraan MPL Malaysia kali keempat berturut-turut.

MPL Malaysia Musim 16 tutup tirai, SRG juara empat kali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SELANGOR Red Giants OG Esports (SRG) mencatat kejuaraan keempat berturut-turut dalam Mobile Legends: Bang Bang Professional League Malaysia (MPL Malaysia) selepas menewaskan CG Esports 4-0 pada Grand Final Musim 16 di MAEPS Serdang, Selangor baru-baru ini.

Lebih manis, Muhammad Haqqullah ‘Sekys’ Ahmad Shahrul Zaman turut menerima Anugerah Pemain Paling Bernilai (FMVP) Final.

Pengasas Bersama SRG, Simon Lim, menyatakan pencapaian empat kali berturut-turut itu sangat bermakna dan membanggakan kerana belum pernah dilakukan oleh mana-mana pasukan di Malaysia.

“Pada mulanya, tiada langsung juara dua kali berturut-turut sebelum kami, kemudian kami raih tiga kali dan pada tahun ini, kami berjaya terus mencipta sejarah sebagai juara empat kali berturut-turut.

“Selain itu, MPL Malaysia bermula di sebuah pusat beli-belah dan setiap musim memerlukan stadium yang lebih besar. Ini menunjukkan perkembangan komuniti serta inisiatif pasukan MPL untuk terus mendekati komuniti,” katanya.

Kemenangan tersebut mengesahkan tempat SRG dan CG Esports sebagai wakil Malaysia ke Kejohanan Dunia M7 yang berlangsung dari 3 hingga 25 Januari 2026 di Jakarta, Indonesia.

Untuk rekod, MPL Malaysia Musim 16 mencatat lebih 600,000 tontonan serentak dengan peningkatan sebanyak 20 peratus berbanding Musim 15.

Sepanjang peringkat playoff MPL Malaysia Season 16 yang berlangsung selama empat hari sebelum Grand Final, hampir 10,000 penonton hadir di MAEPS Serdang.

Dalam pada itu, buletin The Societal Impact of Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) in Malaysia yang diterbitkan oleh MOONTON Games dan Niko Partners dengan sokongan Kementerian Belia dan

Sukan (KBS) serta Esports Integrated (ESI) menunjukkan perubahan besar dalam persepsi masyarakat terhadap peluang kerjaya dalam e-sukan.

Buletin tersebut yang dilancarkan pada sidang media semasa tempoh playoff MPL Malaysia Musim 16 membentangkan pelan hala tuju kolaboratif untuk ekosistem e-sukan Malaysia.

Kajian tersebut melaporkan bahawa Malaysia mempunyai 18.8 juta pemain permainan video, manakala 89.7 peratus responden mengenal pasti kewujudan peluang kerjaya dalam industri.

Selain itu, 72.1 peratus ibu bapa menyokong kerjaya profesional dalam e-sukan dan 83.2 peratus pemain MLBB harian mempunyai aspirasi kerjaya dalam bidang ini.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd. Halim berkata, hasil kajian mengesahkan hala tuju yang sedang diusahakan oleh KBS serta ESI.

“Data kajian membuktikan bahawa e-sukan kini merupakan kuasa ekonomi yang positif dan berpengaruh. Ia merupakan sebuah industri yang mencipta peluang, membangunkan bakat dan mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam landskap digital serantau.

“Kami juga mendengar mesej daripada ibu bapa dengan jelas apabila 52.7 peratus daripada mereka mahukan pendidikan formal sebagai sebahagian daripada laluan pembangunan.

Aksi penonton yang hadir teruja memberikan sokongan.

“Kami menyahut keperluan ini melalui pengumuman terkini mengenai modul TVET khusus untuk e-sport yang mencerminkan komitmen kami membina laluan masa depan yang lebih tersusun dan relevan,” katanya.

Selain itu, musim ini turut memperlihatkan pertambahan dalam kerjasama jenama, selaras dengan kematangan industri permainan dan kejohanan.

Laporan tersebut turut menunjukkan bahawa pemain permainan video di Malaysia menonton kandungan e-sukan secara purata 3.59 jam setiap minggu.

Moonton Games bekerjasama dengan Redd+E untuk menyiarkan MPL dan Kejohanan Dunia M7 ke seluruh Asia Tenggara.

Penganalisis di Niko Partners, Edward Tien berkata, untuk membuka sepenuhnya potensi e-sukan, pihaknya memerlukan kerjasama antara kerajaan, pendidik dan peneraju industri, disokong oleh dialog terbuka merentas generasi.

“Demi memastikan pertumbuhan ini kekal mampan dan bertanggungjawab, adalah disarankan agar pemain serta syarikat permainan di Malaysia selaras dengan garis panduan pembangunan e-sport kebangsaan bagi memupuk penglibatan dalam permainan yang sihat dan seimbang.

“Bagi kerajaan dan para pendidik, cabaran seterusnya ialah menyalurkan semangat ini kepada pertumbuhan industri yang berpanjangan serta peluang kerjaya pada masa hadapan,” katanya.

Kajian tersebut turut menggariskan keperluan kerjasama antara pemain industri, keluarga, sekolah, komuniti dan badan pengawal selia untuk mengukuhkan hala tuju ekosistem e-sukan Malaysia.

Ketua bahagian Esports Malaysia dan pasaran pesat membangun di Moonton Games, Siew Hao Zhen menegaskan hasil kajian buletin menunjukkan apa yang telah mereka saksikan sendiri iaitu

MLBB bukan sekadar permainan – ia sudah menjadi nama besar yang menginspirasi generasi baharu dan menyatukan komuniti.

“Tiada satu pun kemajuan ini berlaku secara bersendirian, kematangan ekosistem terhasil daripada kerjasama kukuh melibatkan pelbagai pihak berkepentingan.

“Apa yang paling memberangsangkan daripada kajian ini ialah 7 daripada 10 ibu bapa di Malaysia kini menyokong anak mereka untuk menceburi e-sukan secara profesional,” katanya.

Hao Zhen turut mengatakan bahawa perubahan tersebut mencerminkan pengiktirafan yang semakin berkembang bahawa permainan video mampu membuka potensi sebenar, bukan sahaja untuk pemain profesional tetapi juga jurulatih, pencipta kandungan, penyiar, jenama dan banyak lagi.

Kini, terdapat keperluan untuk membina laluan yang memupuk tabiat permainan yang sihat di sekolah dan di rumah, serta membekalkan para pendidik dengan kemahiran untuk membimbing golongan muda menggunakan bahasa yang lebih mesra dengan mereka.

“Dengan terus bekerjasama bersama KBS, ESI, sekolah dan rakan penyelidikan seperti Niko Partners, kita sedang membentuk pelan hala tuju yang mampan.

“Ini bagi memastikan setiap rakyat Malaysia mempunyai peluang untuk menjadikan minat terhadap permainan sebagai kerjaya yang bermakna dan mampan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN