NILAI – Pengerusi UCSI Healthcare Group, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah menerima Ijazah Kehormat Doktor Sains Perubatan bersempena Majlis Konvokesyen ke-23 Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini semalam.
Ijazah Kehormat (Doktor Falsafah) kepada bekas Ketua Pengarah Kesihatan itu disampaikan oleh Tuanku Canselor USIM, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud.
Ketua Pegawai Eksekutif Nasyrul Quran, Datuk Abdul Latiff S. Mirasa dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pengajian Quran dan Sunnah, manakala Profesor Dr. Fauzias Mat Nor pula Profesor Emerita. Turut berangkat sama Tunku Pro-Canselor USIM, Tunku Zain Al-‘Abidin Tuanku Muhriz. Turut hadir Pro-Canselor USIM, Tan Sri Abdul Wahid Omar dan Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Sharifudin Md Shaarani.
Sementara itu, Tuanku Aishah Rohani menitahkan sekalung penghargaan kepada seluruh warga USIM bersempena Sambutan Ulang Tahun ke-25 universiti itu tahun ini.
“Ucapan tahniah juga beta tujukan kepada penerima Ijazah Kehormat Doktor Pengajian Quran dan Sunnah dan Ijazah Kehormat Doktor Sains. Penghargaan juga diberikan kepada individu yang dianugerahkan gelaran Profesor Emerita kerana membantu mengukuhkan nama USIM sebagai universiti yang cemerlang di mata dunia.
“Sesungguhnya, pencapaian yang dikecapi sepanjang suku abad ini bukanlah hadir secara tiba-tiba, tetapi merupakan hasil dedikasi, kebijaksanaan kepimpinan, iltizam pensyarah, kesungguhan para pelajar dan sokongan padu seluruh komuniti universiti,” titahnya.
Dalam pada itu, Dr. Noor Hisham berkata, penganugerahan tersebut merupakan satu pengiktirafan bukan sahaja kepada dirinya, malah seluruh warga perubatan dan kesihatan awam negara yang berkhidmat dengan penuh dedikasi dalam memastikan kesejahteraan rakyat Malaysia.
Katanya, USIM adalah unik kerana menggabungkan ilmu naqli dan aqli iaitu menyatukan antara hikmah wahyu dan kearifan akal antara ilmu tradisi dan sains moden.
“Falsafah ini amat saya hormati kerana dunia perubatan hari ini bukan sekadar tentang penyelidikan makmal atau rawatan klinikal, tetapi tentang memahami nilai, etika dan tanggungjawab sosial.
“Saya percaya pendekatan integrasi ilmu yang diterapkan dalam kurikulum Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan USIM mampu melahirkan doktor dan saintis yang bukan sahaja mampu merawat pesakit, tetapi menjadi profesional muslim yang menjadikan nilai-nilai Islam sebagai teras kepada keputusan klinikal dan tanggungjawabnya kepada masyarakat,” katanya.
Menurutnya, sepanjang lebih tiga dekad dalam perkhidmatan awam dan bidang kesihatan, beliau berpeluang menyaksikan pelbagai cabaran kesihatan awam daripada penyakit berjangkit seperti krisis pandemik Covid-19 hingga ke isu kesejahteraan mental masyarakat.
“Setiap pengalaman mengajar saya bahawa khidmat kepada masyarakat adalah inti sebenar profesion perubatan. Sepanjang menjawat sebagai Ketua Pengarah Kesihatan, saya berusaha untuk memperuntukkan masa sehari dalam seminggu untuk melaksanakan kerja klinikal dan membuat pembedahan kepada pesakit demi memberi khidmat kepada masyarakat,” katanya.
Selain itu katanya, transformasi kepada sistem kesihatan awam amat penting bagi memastikan rakyat mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan yang menyeluruh dan berkualiti, tanpa mengira latar belakang atau lokasi.
“Salah satu contoh adalah inisiatif penghapusan Hepatitis C di Malaysia melalui kerjasama antara Kementerian Kesihatan (KKM) dan ‘Drugs for Neglected Diseases Initiative’ (DNDi) menjadikan Malaysia negara pertama di dunia yang melaksanakan rawatan berasaskan ubat generik yang berkesan dan murah serta memberi manfaat kepada masyarakat keseluruhannya,” katanya.
Tambahnya, industri perubatan negara juga berkembang pesat dengan penubuhan pelbagai hub pelancongan kesihatan yang menawarkan rawatan bertaraf antarabangsa.
Seramai 2,923 graduan Sarjana Muda, 103 graduan Doktor Falsafah (PhD), 101 graduan Sarjana, 212 graduan Diploma Lanjutan (DIJAP) dan 292 graduan Diploma Pascasiswazah (DPPI) akan menamatkan pengajian dan menerima skrol masing-masing.
Konvokesyen Ke-23 turut menyaksikan graduan sulung bagi tujuh program pengajian baharu, iaitu Doktor Falsafah Alam Bina, Sarjana Sains Alam Bina, Sarjana Sains Pergigian Gunaan, Sarjana Muda Pengurusan dengan Pelancongan (Kepujian), Sarjana Muda Pengurusan dengan Pelancongan (Kepujian), Sarjana Muda Teknologi Industri Kesihatan dengan Kepujian serta Diploma Lepasan Ijazah-Diploma Amalan Kehakiman dan Guaman Syarie (DIJAP) secara pesisir di kampus Universiti Malaysia Sabah. – KOSMO! ONLINE















