PETALING JAYA – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengumumkan pembatalan perkhidmatan tren MySawasdee No.1004 (KL Sentral – Hatyai, 28 November 2025) dan MySawasdee No.1005 (Hatyai – KL Sentral, 1 Disember 2025).
KTMB dalam kenyataan berkata, pembatalan tersebut berikutan penutupan landasan kereta api di beberapa kawasan antara Padang Besar dan Hatyai akibat banjir yang melanda wilayah tersebut.
Menurut KTMB, keputusan ini dibuat selepas penilaian keselamatan dan operasi serta pengesahan daripada pihak berkuasa Thailand, dengan mengambil kira keselamatan penumpang sebagai keutamaan.
“Sebanyak 840 tiket telah ditawarkan bagi kedua-dua perjalanan tersebut. Pada masa ini, seramai 652 penumpang masih belum membuat pembatalan tiket.
“Bagi pembelian tiket dalam talian, penumpang boleh membuat pembatalan melalui aplikasi KITS dengan memilih menu MyTicket → Upcoming Ticket → Refund dan akan menerima pemulangan tambang penuh secara serta-merta ke dalam KTM Wallet untuk kegunaan pembelian tiket pada masa hadapan,” jelas kenyataan itu.
Selain itu, KTMB memaklumkan, seramai 188 penumpang bagi kedua-dua laluan yang telah membuat pembatalan awal juga layak menerima baki pemulangan tambang.
“Bagi jadual dan tarikh perjalanan perkhidmatan MySawasdee yang seterusnya akan dimaklumkan dari semasa ke semasa, tertakluk kepada perkembangan dan situasi semasa di Hatyai,” katanya.
KTMB memohon maaf atas kesulitan yang dialami para penumpang dan menghargai kesabaran serta kerjasama semua pihak sepanjang situasi ini.
“Untuk maklumat lanjut atau sebarang pertanyaan, sila hubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-9779 1200,” lapor kenyataan itu. – KOSMO! ONLINE















