SWAN LAKE ialah karya ballet agung ciptaan Pyotr Tchaikovsky yang sejak akhir abad ke-19 menjadi lambang keanggunan, tragedi dan fantasi.
Kisah Odette, gadis yang disumpah menjadi angsa serta Prince Siegfried yang berusaha memecahkan sihir melalui cinta sejati menjadikan naskhah ini inspirasi merentas generasi.
Keindahan gerak tubuh, kostum ikonik dan dunia magis yang dibina melalui muziknya terus mempengaruhi seni kontemporari, termasuk fesyen.
Dalam aliran pengaruh ini, pereka muda Durrani Zul Zaidi memilih untuk menafsir semula Swan Lake sebagai asas koleksi akhir pengajian sarjana mudanya di Universiti Teknologi Mara (UiTM).
“Tema asas ialah Optimisme, mewakili positiviti serta keterbukaan menerima perkara baik untuk masa hadapan.
“Bagi saya, Swan Lake bukan sekadar tragedi, tetapi dunia fantasi yang melambangkan harapan, penerimaan dan keberanian berkarya.
“Ia tema yang banyak diterokai pereka luar negara, tetapi masih jarang disentuh pereka tempatan. Oleh itu, saya ingin mencuba,” katanya kepada CitaRasa.
Koleksi ini terdiri daripada empat rekaan iaitu dua wanita dan dua lelaki, yang digarap sebagai interpretasi hero dan heroin selari dengan naratif romantik Swan Lake.

Dari segi warna, hitam dipilih walaupun kostum asal naskhah itu berwarna putih kerana warna tersebut dianggap kaya, universal dan digemari ramai.
Kongsi pereka berusia 24 tahun itu, koleksi ini berada dalam kategori Demi-Couture, iaitu kategori yang terletak antara couture penuh dan ready-to-wear.
“Demi-Couture menuntut ketelitian tinggi dengan kesimetrian, ukuran tepat dan perincian mikro yang sangat cermat.
“Setiap rekaan mengambil sekitar dua hingga tiga minggu untuk disiapkan dalam tempoh satu semester enam bulan,” jelasnya sambil menambah bahawa koleksinya pernah diperagakan oleh Aisha Retno dan Ismail Izzani.
Untuk rekaan lelaki, Durrani menghasilkan vest tanpa lengan sebagai penghormatan kepada gerak tubuh penari ballet, simbol gerakan tubuh yang bertenaga dan wajar diraikan.
Satu lagi rekaan lelaki berupa jaket oversized dengan potongan sisi menyerupai bentuk tubuh angsa.
Rekaan wanita pula menumpukan pada korset, elemen penting dalam sejarah kostum Swan Lake.
Setelah meneliti evolusi korset, pereka dari Negeri Sembilan itu menghasilkan versi moden tanpa tali tradisional dan menggantikannya dengan zip yang lebih praktikal. Garisan jahitan halus ditata rapi menyerupai lembutnya garis pada bulu angsa.
Antara elemen paling menonjol koleksi ini ialah penggunaan Canadian smocking, teknik jahitan halus menghasilkan tekstur baharu.
Menurut Durrani, teknik tersebut dipilih untuk meniru tekstur bulu angsa yang rumit dan padat.
“Cabaran utama ialah menghasilkan motif yang sangat kecil tanpa tampak sarat, tetapi berjaya membentuk permukaan fabrik yang halus dari jauh dan kaya detail dari dekat.
“Saya memanfaatkan teknik bonding atau fusing menggunakan gabungan taffeta, kain kaliko dan interfacing jaket bagi mencipta fabrik baharu yang lebih berstruktur.
“Taffeta asalnya berkilat, tetapi diolah menjadi matte dan lebih tegas. Ramai menyangka seperti kulit, walhal itu hanyalah fabrik yang diproses dengan teknik teliti,” katanya.















