GEORGE TOWN – Seorang graduan Universiti Sains Malaysia (USM) tidak dapat menahan sebak tatkala mengenangkan kembali arwah bapanya yang tidak sempat melihatnya menggenggam segulung ijazah pada Upacara Konvokesyen Ke-63 USM, Selasa depan.
Aii’na Mardiah Din, 24, yang menamatkan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Tesol) dengan Kepujian itu berkata, dia masih teringat akan pesanan arwah bapa tercinta, Din Yakub, 64, semasa tahun pertama dia menuntut di universiti berkenaan sebelum pergi buat selama-lamanya.
Menurut Aii’na, bapa yang merupakan pesara kerajaan meninggal dunia dua tahun lalu akibat kanser prostat.
“Ayah pernah pesan supaya belajar rajin-rajin supaya jadi pensyarah. Dia selalu cakap kalau belajar biarlah sampai ijazah. Jika dia ada lagi…saya tidak tahu apa reaksinya dan untuk sedekahkan kejayaan hari ini, saya akan dedikasikan untuk arwah ayah.
“Kalau semua orang bangga dengan saya pun, saya rasa benda itu tidak akan mencapai tahap kepuasan diri saya sebab hari ini ayah saya tak sempat mengucapkan tentang itu (bangga) dekat saya,” katanya sebak ketika ditemui pada sidang media khas Upacara Konvokesyen Ke-63 USM di sini, hari ini.
Aii’na yang merupakan anak ke 13 daripada 15 adik beradik itu memberitahu lagi, dia juga sedaya upaya berusaha mencari sumber kewangan sendiri sepanjang pengajiannya disebabkan tidak mahu sesekali membebankan ahli keluarga.
“Jika bercakap tentang kewangan, memang tak cukup. Jadi, saya banyak usaha sendiri. Memang kalau boleh tak mahu minta dengan mak. Tapi, alhamdulillah Allah bagi rezeki itu cukup.
“Dalam tempoh pengajian, saya kadang-kadang mengajar kelas tuisyen sambil berniaga makanan segera dari bilik (kolej kediaman). Saya berusaha cari duit lebih demi sebuah kejayaan,”ujarnya yang bercita-cita sebagai pensyarah.
Dalam pada itu jelasnya lagi, antara cabaran utama sepanjang bergelar penuntut adalah berdepan dengan masalah berkaitan hubungan persahabatan.
“Sebab kita kan selalu menonjol ke hadapan, jadi sebenarnya ramailah orang tak suka. Orang kata saya terlalu dominan. Macam semua nak.
“Padahal dah ada peluang terbaik, kita ambil saja. Selagi mana kita berada di universiti ini, kita boleh pilih apa saja yang kita nak lakukan dan tak ada orang nak halang. Oleh itu, tiada istilah dominan dalam perkara ini.
“Tidak dinafikan, semasa tahun pertama dan kedua, saya memang tak ada kawan, memang sunyi sangatlah masa itu.
“Tapi alhamdulillahlah, disebabkan saya tidak mempunyai ramai kawan, saya cari kawan, saya sertai sebanyak mungkin persatuan dan dari situ barulah kita berjumpa dengan ramai kawan-kawan yang baik, kitaran yang baik,” jelasnya.
Sementara itu, Naib Canselor USM, Profesor Datuk Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed memberitahu,seramai 9,347 graduan akan menerima ijazah masing-masing termasuk seorang penerima Ijazah Terhormat.
Katanya, seramai 865 graduan menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD), Sarjana (3, 501), Ijazah Sarjana Muda (4,934) dan Diploma Kejururawatan (47). -KOSMO! ONLINE















