fbpx
Kelibat seekor harimau kurus yang sering kelihatan di Kuala Tembeling, Jerantut sejak minggu lalu.

‘Risau kami pula jadi makanan dia’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JERANTUT – Kelibat seekor harimau kurus yang sering berkelia­ran dengan kaki terhincut-hincut di sekitar Kuala Tembeling di sini menyebabkan penduduk hidup dalam keadaan bimbang dan resah mengenai keselamatan mereka.

Terbaharu, harimau tersebut dilihat di kawasan ladang Yayasan Pahang pada minggu ini di jalan utama dari Kampung Bantal ke Kampung Mat Daling di sini.

Dalam kejadian terbaharu itu harimau berkenaan kelihatan berjalan terhincut-hincut di laluan utama selain tidak mempedulikan kehadiran sebuah trak pikap.

Rata-rata penduduk mendakwa haiwan liar itu kerap me­rayau tanpa mempedulikan kenderaan keluar dan masuk pada waktu petang dan malam.

Man Sadri, 40, berkata, dia pernah terserempak dengan harimau berkenaan menjelang waktu maghrib dalam perjalanan dari Kuala Tahan pulang ke Kampung Bantal Seberang di sini.

“Saya terkejut apabila seekor harimau tiba-tiba muncul daripada semak berhampiran dan merayau-rayau di atas jalan seolah-olah mencari makanan dan tidak mempedulikan kehadiran kenderaan kami.

“Kelihatan badan haiwan liar berkenaan sangat kurus dan saya percaya harimau ini lapar, ia terpaksa keluar dari hutan berdekatan untuk mencari makanan,” katanya.

Menurut Man, harimau itu dipercayai masih berada berdekatan laluan utama masuk ke kawasan perkampungan Ulu Tembeling sehingga keba­nyakan penduduk berasa bimbang ke­selamatan masing-masing ketika keluar ke Kuala Tahan dan bandar Jerantut.

Dakwanya, selain harimau penduduk juga pernah terse­rempak dengan kawanan gajah liar yang kerap keluar mencari makanan pada waktu pagi dan petang di pinggir jalan raya Kuala Tahan ke Mat Daling, Ulu Tembe­ling.

Seorang lagi penduduk, Zul­kifly Jamari, 60, berkata, dia pernah terserempak dengan haiwan liar itu ketika menziarahi rumah saudaranya di Kampung Mat ­Daling.

“Ketika memandu, lampu menyuluh mata haiwan itu menyebabkan ia bersinar. Haiwan liar itu masuk semula ke dalam hutan tetapi saya tetap bimbang dan takut jika muncul semula,” katanya.

Menurut Zulkifly harimau berkenaan merayau di jalan masuk ke perkampungan di situ dipercayai ketiadaan makanan kerana habitat haiwan liar di Ulu Tembeling sudah banyak diteroka dengan penebangan balak sejak 20 tahun lalu.

Ahmad Amirul Naim Mohamad, 31, pula berkata, dia bimbang mengenai kejadian itu kerana sering berulang alik dengan menunggang motosikal ke kampungnya di Ulu Tembeling.

Katanya, penunggang motosikal sememangnya bimbang ke­rana mereka amat terdedah dengan serangan haiwan yang lapar berkenaan.

Sementara itu Pengarah Per­hilitan Pahang, Rozidan Md. Yasin berkata, kakitangan telah me­lakukan pemantauan di kawasan berkenaan dan mengesahkan kehadiran harimau berkenaan.

Katanya, pihaknya juga telah memasang perangkap dan memasang kamera di kawasan sekitar bagi melakukan pemantauan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN