BARCELONA – Kemenangan 4-0 Barcelona ke atas Athletic Bilbao, awal pagi semalam menjadi detik paling sempurna buat kelab itu yang kembali bermain di Camp Nou buat kali pertama.
Jurulatih Barcelona, Hansi Flick menganggap perlawanan kali ini adalah sesuatu yang istimewa kerana kelab Catalan itu sudah lama menantikan untuk kembali ke Camp Nou yang sebelum ini terpaksa ditutup bagi kerja naik taraf.
“Semua orang, pemain, kakitangan pasukan, jurulatih anggap ini perlawanan istimewa. Begitu juga buat penyokong yang kembali ke stadium ini dan perasaan ketika ini nyata sukar untuk digambarkan.
“Pada babak pertama, kami berdepan kesukaran, namun akhirnya selepas itu ia kembali berubah. Untuk meraih tiga mata, kekal tanpa bolos dan menjaringkan empat gol menjadikan ia hari paling sempurna buat kami,” katanya.
Terdahulu, Robert Lewandowski membuka jaringan, diikuti dua gol daripada Ferran Torres dan satu lagi menerusi Fermín López.
Camp Nou mula ditutup pada Mei 2023 dan sepanjang tempoh itu, Barcelona terpaksa mengharungi aksi di tempat sendiri di Stadium Olimpik.
Ketika ini, Camp Nou belum siap sepenuhnya di mana masih ada kerja yang belum siap di tingkat tiga tempat duduk dan ia bakal menjadi venue terbesar di Eropah dengan kapasiti 105,000 penonton.
“Hari yang istimewa buat semua orang, termasuk juga saya yang mampu menghasilkan gol pertama pada aksi di Camp Nou. Ini detik manis buat diri saya khususnya untuk bantu kemenangan pasukan,” kata Lewandowski. – AGENSI















