fbpx
Gambar hiasan Tabung Haji

Surat sampai baru nak cari duit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Ramai rakyat Malaysia masih gagal menyediakan dana mencukupi bagi menunaikan haji kerana tidak memiliki tabiat simpanan jangka panjang yang konsisten.

Perunding Kewangan INFAQ Consultancy Sdn. Bhd., Afyan Mat Rawi berkata, hasil pelbagai kajian literasi kewangan sebelum ini jelas menunjukkan majoriti rakyat tidak mempunyai simpanan yang mencukupi, walaupun ramai sudah mendaftar haji sejak usia muda.

“Masalahnya bukan kerana tawaran haji datang terlalu cepat, tetapi kerana perancangan kewangan tidak dibuat sejak awal.

“Ramai mendaftar haji awal tetapi tidak membuat simpanan berkala walaupun giliran makin hampir,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Menurut Afyan, apabila surat tawaran haji diterima, barulah ramai menyedari simpanan yang ada tidak cukup untuk menampung kos ibadah tersebut yang semakin meningkat saban tahun.

“Ibadah haji memerlukan dana besar dan ia sepatutnya dirancang bertahun-tahun. Bukan apabila surat tawaran sampai baru hendak mula menyimpan,” jelasnya.

Tambahnya, tekanan kos sara hidup turut menjadi faktor yang menyebabkan ramai gagal mengekalkan simpanan jangka panjang.

“Apabila pendapatan tidak seimbang dengan komitmen, simpanan bulanan sering menjadi perkara pertama dikorbankan,” katanya.

Mengulas dakwaan bahawa ada pendeposit mengeluarkan wang kerana bimbang Tabung Haji (TH) mengalami kerugian, Afyan menegaskan bahawa tiada statistik rasmi yang menunjukkan perkara itu sebagai punca utama.

“Rekod prestasi kewangan TH menunjukkan simpanan pendeposit meningkat setiap tahun. Pulangannya stabil, asetnya kukuh dan ia kekal antara institusi kewangan Islam paling dipercayai di negara ini,” katanya.

Menurut beliau, jika berlaku pengeluaran sekalipun, ia biasanya berpunca daripada tekanan kewangan harian seperti kenaikan kos sara hidup dan bukannya kerana pendeposit hilang kepercayaan terhadap TH.

“Apabila aliran tunai keluarga ketat, simpanan jangka panjang selalunya menjadi mangsa pertama. Ini bukan soal takut TH rugi, tetapi soal kurangnya budaya menyimpan dan kelemahan perancangan kewangan yang berstruktur,” ujarnya.

Afyan menegaskan bahawa isu dana haji perlu dilihat dari sudut lebih besar iaitu keperluan mendidik masyarakat mengenai simpanan jangka panjang, pengurusan kewangan dan perancangan awal.

“Dengan pendidikan kewangan yang lebih awal dan berte­rusan, masyarakat akan lebih bersedia apabila tawaran haji diterima, tanpa perlu tergesa-gesa mencari dana,” katanya.

Dilaporkan sebanyak 50 peratus jemaah haji 2025 lalu terpaksa menolak tawaran ke Mekah kerana duit simpanan tidak mencukupi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN