BUKIT KAYU HITAM – Jumlah kenderaan yang memasuki Thailand menerusi Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam hari ini berkurangan dengan ketara berbanding semalam susulan kejadian banjir di Hatyai.
Rata-rata pelancong menangguhkan perancangan bercuti ke Thailand selepas mengetahui banyak kawasan di negara itu dinaiki air.
Namun begitu, masih terdapat pergerakan bas menuju ke negara jiran tersebut dan berkemungkinan mereka akan berpatah balik kerana banyak jalan yang tidak lagi boleh dilalui.
Ketua Unit Komunikasi dan Korporat Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Bukit Kayu Hitam, Nur Suhaida Azmi berkata, masih ada kenderaan yang menghala ke Thailand pagi tadi, namun jumlahnya tidak banyak.
“Hari ini tidak ramai yang menghala ke Thailand kerana rata-rata sudah tahu kejadian banjir di sana. Cuma semalam, ramai yang menuju ke sana,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, menurut pemandu trak tunda, Ayman Joshua, kenderaan tunda tidak lagi dapat memasuki Hatyai kerana hampir keseluruhan kawasan itu ditenggelami banjir.
“Ada rakan tunda saya di sana memaklumkan mereka pun tidak berani masuk kawasan Hatyai kerana paras air semakin naik. Ada jalan yang lori pun tidak boleh lepas,” katanya.
Beliau berkata, dia dan rakan-rakan sempat menguruskan proses menunda empat kenderaan dari Hatyai ke Bukit Kayu Hitam pada malam tadi hingga awal pagi ini.
“Empat keluarga ini difahamkan dari Alor Setar, Jitra dan Pulau Pinang,” tambahnya sambil memaklumkan bahawa harga tunda kenderaan adalah kira-kira RM750. – KOSMO! ONLINE















