DALLAS, TEXAS – Senaskah komik yang menampilkan adiwira Superman menjadi buku komik paling mahal dunia apabila dijual pada harga AS$9.12 juta (RM38 juta) dalam acara lelongan di negeri Texas, lapor akhbar New York Post.
Komik Superman No. 1 yang diterbitkan pada tahun 1939 itu ditemukan oleh tiga adik-beradik di loteng rumah mendiang ibu mereka di negeri California, tahun lepas.
Biarpun diletakkan dalam kotak dan dilindungi dengan hanya timbunan surat khabar lama, komik itu diberi gred 9.0 dalam skala 10 keadaan sempurna selepas diperiksa oleh firma Collectible-grading service (CGC).
Jualan tersebut mengatasi pemegang rekod sebelumnya iaitu buku Actions Comics No. 1 yang dijual pada harga AS$6 juta (RM25 juta) oleh firma lelongan Heritage Auctions tahun lepas.
Naib Presiden Heritage Auctions, Lon Allen berkata: “Tiga beradik itu meninggalkan mesej pada meja saya tiga bulan selepas menemukan komik tersebut.
“Saya gembira komik ini dijual dengan harga bersesuaian dan saya berbesar hati apabila Heritage Auctions diberikan amanah untuk menjual buku ikonik ini,” kata Allen. – AGENSI














