ALOR SETAR – “Kami berharap kematian anak kami adalah yang terakhir, tiada siapa patut melalui kejadian seperti ini.”
Demikian luah Nikita Lakubanets, 32, bapa kepada Vladimir, 2, yang maut akibat disengat ubur-ubur kotak dalam kejadian di Pantai Chenang, Langkawi baru-baru ini.
Dia berharap agar pihak berkuasa dapat mengiktiraf anak tunggalnya itu sebagai ‘wira’ kerana pemergiannya menjadi peringatan kepada semua pihak.
“Ia perlu dijadikan peringatan agar langkah keselamatan di kawasan terlibat terus dipertingkatkan dan insiden sama tidak berulang lagi,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kedah, Datuk Mohd. Salleh Saidin di sini hari ini.
Nikita turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan negeri, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Kedutaan Russia atas bantuan yang dihulurkan.
“Mereka kata akan bantu dan kami harap janji itu ditepati. Keselamatan pantai di Langkawi mesti dipertingkatkan. Kematian perlu dihentikan di situ dan pemergian anak kami harus menjadi pengajaran,” katanya.
Sementara itu, ibu mangsa, Olga, 32, berkata, dia sedih kerana impian anaknya untuk menjadi doktor seperti datuknya tidak kesampaian.
“Semuanya berlaku terlalu cepat. Ayah saya pakar bedah saraf dan anak saya mahu menjadi doktor seperti datuknya.
“Dia juga suka kereta dan selalu kata mahu memandu laju seperti bapanya,” katanya.
Vladimir menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, pada Rabu lalu selepas bertarung nyawa sejak kejadian itu berlaku pada 15 November lalu.
Jasad Vladimir dijangka dibakar sebelum abu dibawa pulang ke Russia. — KOSMO! ONLINE














