PETALING JAYA – Menggunakan perkhidmatan kurier dan kontena termasuk menjadikan pulau tidak berpenghuni sebagai lokasi transit dadah.
Itu antara modus operandi sindiket penyeludupan dadah yang dikesan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Pengarahnya, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, sindiket disyaki meninggalkan dadah di lokasi tertentu untuk diambil individu lain sebelum diedarkan.
“Ini termasuk meninggalkan dadah di pulau yang tidak berpenghuni bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.
“Selain itu, sindiket juga menggunakan kontena bermuatan kargo seperti buah-buahan dan sayuran dari negara jiran bagi, namun taktik itu berjaya dikesan JKDM,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Anis berkata, dalam tempoh 10 bulan sehingga Oktober, pihaknya merekodkan 594 kes dadah dengan rampasan mencecah RM459.30 juta.
Katanya, penyeludupan menggunakan kontena yang bermuatan kargo seperti buah-buahan, sayuran dan makanan basah dari negara jiran dikesan dengan cara menyelitkan dadah bersama-sama komoditi berkenaan.
“Langkah tegas diambil JKDM dalam usaha memastikan dadah tidak dapat diseludup masuk adalah operasi Joint Task Force (JTF) bersama Indonesia yang berlangsung dari 1 hingga 31 Julai lalu di Sabah dan Sarawak dengan nilai rampasan sebanyak RM39.22 juta,” ujarnya.
Katanya, sindiket penyeludupan dadah turut menggunakan perkhidmatan kurier yang menggunakan nama dan alamat palsu untuk penghantaran parcel.
“Kita juga mengesan penyeludupan melalui pintu masuk sempadan negara dengan menggunakan individu yang membawa kenderaan.
“Sindiket ini lazimnya menggunakan ‘keldai dadah’ atau individu tertentu yang menyeludup menggunakan bagasi yang disimpan dalam kenderaan.
“Terdapat juga taktik menggunakan kenderaan yang diubah suai dengan mewujudkan ruangan khas bagi menyembunyikan dadah,” ujarnya.
Sehubungan itu, Anis berkata, JKDM melaksanakan rutin pemeriksaan di pintu keluar masuk negara oleh pegawai yang bertugas di kawasan sempadan.
“Kawalan kawasan perairan negara juga dilaksanakan secara berkala dengan memfokuskan kawasan hotspot selain rondaan rutin oleh Unit Marin JKDM.
“Anjing Pengesan Dadah (APD) JKDM turut ditambah baik menerusi penambahan aset berkenaan dan juga latihan berterusan selain ‘intelligence driven’ ditingkatkan di mana pegawai-pegawai risikan digerakkan untuk mendapatkan maklumat,” katanya.- KOSMO! ONLINE















