PETALING JAYA – Situasi unik berlaku di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Kelabit apabila kelas prasekolahnya hanya mempunyai seorang murid, menjadikan pelajar itu secara automatik memegang gelaran ‘nombor satu’ setiap tahun.
Perkara tersebut dikongsikan seorang guru sekolah berkenaan, yang menggunakan nama akaun TikTok @Sir_Rahimin memaparkan suasana sebenar sekolah pedalaman itu yang kini menempatkan 10 murid sahaja.
Guru tersebut berkata, Tahun 2 hanya mempunyai dua murid, Tahun 3 dua murid, Tahun 5 dua murid manakala Tahun 6 tiga murid. Namun, kelas prasekolah menjadi perhatian kerana hanya diisi seorang murid, tanpa rakan sekelas.
Menurutnya, jumlah murid yang kecil memberi cabaran tersendiri kepada guru apabila mereka perlu mengajar pelbagai subjek dan memegang pelbagai jawatan memandangkan jumlah guru juga hanya lapan orang.
Dia berkata, bilangan murid berkurangan kerana kebanyakan keluarga telah berpindah ke kawasan bandar, menyebabkan sekolah itu beroperasi dengan kapasiti minimum.
Namun, suasana unik itu telah mewujudkan hubungan yang sangat rapat antara murid-murid.
“Murid saling berkawan dengan kakak dan abang di sekolah. Mereka cepat matang kerana belajar daripada abang dan kakak. Hormat cikgu, dan kebanyakan larangan pun datang daripada abang kakak mereka sendiri. Unik sekolah ni,” katanya.
Menjengah ke ruangan komen, pelbagai reaksi diberikan terhadap hantaran tersebut.
“Bagus dik, macam ini setiap tahun nombor 1 dalam kelas,” ujar @Idaisa.
“Keputusan biasa-biasa sahaja pun boleh dapat nombor 1, mana nak dapat di sekolah lain,” kata @Marianahamizashafie.
“Dia lah ketua kelas, penolong kelas, bendahari, ketua kebersihan dan penolong kebersihan,” komen @Atiqahrahani.- KOSMO! ONLINE.















