KOTA KINABALU – Kemeriahan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bukan sahaja menjadi medan memilih pemimpin Negeri Bawah Bayu, malah ia memberi limpahan rezeki kepada penduduk dan peniaga setempat.
Tinjauan Kosmo! di sekitar Anjung Kinabalu mendapati, rata-rata peniaga menzahirkan rasa syukur apabila pendapatan mereka meningkat lebih 50 peratus sejak beberapa minggu lalu.
Peniaga makanan laut kering, Awie Hisyam Ibnu, 35, berkata, hasil jualannya pada hari biasa kira-kira RM500 sehari.
“Namun, sejak empat minggu lalu pendapatan boleh mencecah hampir RM2,000 khususnya ketika hujung minggu. Ramai pelanggan adalah mereka yang datang dari Semenanjung ke Sabah untuk tujuan berkempen.
“Selaku peniaga, saya tidak melihat berbeza politik itu sebagai suatu halangan, malahan gembira kerana pengunjung luar datang ke Sabah sekali gus membantu meningkatkan ekonomi peniaga kecil di bandar raya ini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Seorang pekerja premis menjual mutiara Sabah, Lia Abdullah, 31, memaklumkan, butang baju Melayu, kerongsang dan gelang antara aksesosi yang sering menjadi pilihan pelanggan terutama pengunjung dari Semenanjung.
Menurutnya, PRN Sabah bukan semata-mata proses pengundian tetapi amat ditunggu-tunggu rakyat bagi menentukan masa depan Sabah selain durian runtuh buat peniaga.
“Saya dan majikan memang sudah jangka penjualan aksesori akan meningkat 50 peratus apabila tibanya pilihan raya. Hal ini kerana semua pemimpin-pemimpin utama dan jentera parti nasional pasti datang ke negeri ini untuk membantu proses berkempen.
“Sudah tentu mereka akan mencari aksesosi berasaskan mutiara untuk dijadikan oleh-oleh berikutan kita sudah terkenal dengan keindahan mutiara Sabah sejak sekian lama,” katanya selain menambah memperoleh hasil jualan sehingga RM1,500 sehari ketika ini.

Dalam pada itu, kempen PRN Sabah turut mencetuskan fenomena luar biasa apabila perkhidmatan sewa kenderaan pacuan empat roda atau ‘pikap’ laris bagai pisang goreng panas.
Penduduk Sabah mengakui PRN kali ini dianggap antara pilihan raya paling meriah dengan penyertaan lebih 500 calon daripada lebih 20 parti bertanding.
Seorang penyewa kereta yang ingin dikenali Rahman, 45, berkata, dengan geografi Sabah yang berbukit selain akses ke kawasan terpencil agak sukar, kenderaan pacuan empat roda dianggap sebagai pilihan terbaik untuk petugas media, sukarelawan dan warga luar yang datang berkempen.
“Ketika mahu menyewa pikap baru-baru ini, beberapa pengusaha perkhidmatan sewa kenderaan memaklumkan mereka telah menerima tempahan daripada parti-parti politik sejak beberapa minggu lalu.
“Kadar sewa pikap biasanya antara RM250 hingga RM350 sebuah bergantung kepada jumlah hari yang diperlukan.
“Ada yang berani bayar lebih sebab mereka sangat-sangat memerlukan kenderaan pacuan empat roda. Kebetulan, calon yang mereka bantu untuk kerja-kerja kempen bertanding di kawasan pedalaman,” katanya.
Ujarnya, antara lokasi tumpuan termasuklah di Kudat, Pensiangan, Beluran, Kinabatangan dan Kota Merudu.
“Sabah memang terkenal dengan penggunaan pikap dan sudah jadi kenderaan wajib bagi kebanyakan penduduk. Biasalah, jalan-jalan di Sabah banyak yang tidak sempurna dan agak sukar dimasuki,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE














