JOHOR BAHRU – Picnic in the Air 2025 bakal memeriahkan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai pada 27 dan 28 Disember ini dengan pendekatan unik yang menggabungkan elemen kek, kreativiti dan semangat komuniti.
Acara anjuran Destination Odyssey Travel Solution Sdn Bhd (DOTS Event) dengan kerjasama Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Tourism Johor, Pejabat Daerah Kulai dan Majlis Perbandaran Kulai menjadikan kawasan rumput terpilih sebagai ruang berkelah terbuka bagi pengunjung.
Ketua Pegawai Eksekutif DOTS Event, Olivia Ooi berkata, Picnic in the Air 2025 bukan sekadar festival makanan malah ia meraikan minat rakyat Malaysia terhadap makanan, kreativiti dan kebersamaan.
“Penganjuran di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai menawarkan pengalaman luar biasa, menyatukan masyarakat pelbagai budaya melalui cita rasa, cerita dan memori yang dikongsi bersama,” katanya.
Sepanjang dua hari, pengunjung berpeluang menyaksikan pertandingan membuat kek, sesi merasa makanan serta persembahan interaktif daripada pembuat kek, chef pastri dan artisan makanan tempatan.
Acara ini juga mengetengahkan lebih 30 hidangan ikonik Johor, dengan penglibatan pakar makanan tempatan dan tukang masak tradisional mengetengahkan identiti kulinari Johor selaras dengan kempen Tahun Melawat Johor 2026.
Pengarah Tourism Johor, Muhammad Nazrul Abd Rahim, menegaskan komitmen pihaknya untuk memperkasakan destinasi serta program berskala besar yang memberi impak positif kepada ekonomi setempat dan komuniti pelancongan di Johor.
“Dengan sokongan Tourism Johor, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Pejabat Daerah Kulai, Majlis Perbandaran Kulai serta rakan kerjasama dalam sektor pelancongan, kreatif dan kulinari, festival ini mengalu-alukan orang ramai untuk hadir dan menikmati hujung minggu bersama keluarga dan rakan di negeri Johor.
“Bersama-sama festival ini, akan diadakan juga sambutan ketibaan pelancong di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, menzahirkan komitmen Kerajaan Negeri dalam menyambut pelancong dengan mesra serta memperkukuh kerjasama dengan pihak berkaitan pelancongan, selaras dengan sasaran Negeri Johor untuk menarik 12 juta pelancong,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE















