DI sebalik kemajuan ekonomi dan peningkatan standard pekerjaan, masih ramai majikan di negara ini gagal menjaga kebajikan pekerja, sekali gus membuka ruang kepada eksploitasi berterusan.
Pengabaian itu bukan sahaja melibatkan isu gaji tidak setimpal, malah turut merangkumi perlindungan sosial, keselamatan serta kesejahteraan mental yang menjadi hak asas setiap pekerja.
Walaupun undang-undang buruh semakin kukuh, masih wujud majikan yang memerah keringat pekerja tanpa mematuhi hak minimum yang telah ditetapkan.
Dalam satu operasi Op Kurier di Pulau Indah, Klang awal bulan ini, seorang pekerja mendedahkan bahawa dia hanya menerima RM120 sehari berbanding tawaran RM200 seperti yang diiklankan.
Katanya, meskipun ‘hilang’ RM80 setiap hari, dia terpaksa bertahan kerana mencari rezeki dan sudah bekerja lebih setahun di premis itu.
Hasil pemeriksaan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) mendapati pelbagai kesalahan di bawah Akta Kerja 1955 (Akta 265), termasuk waktu kerja melebihi 45 jam seminggu, bayaran kerja lebih masa yang tidak mencukupi serta ketiadaan penyata gaji dan kontrak perkhidmatan.
Perkeso pula membuka siasatan susulan kegagalan caruman melibatkan pekerja sambilan vendor luar.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad yang menyertai operasi itu menegaskan, majikan tidak boleh terus mengambil kesempatan ke atas golongan bawahan.
“Mereka keluarkan titik peluh, kamu dapat untung banyak, jangan tindas orang bawahan. Mereka ada isteri dan anak. Jangan ada penindasan di negara ini,” tegasnya.
Jelasnya, sebanyak 490 kertas siasatan dibuka JTKSM dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, dengan 353 kes mendapat izin mendakwa melibatkan denda RM138,000, manakala 501 kompaun bernilai RM2.87 juta turut dikeluarkan.
Seiring peningkatan kes sedemikian, kesedaran pekerja mengenai hak mereka perlu diperkukuh termasuk mengenal pasti bentuk tekanan halus yang boleh membawa kepada cubaan memaksa pekerja berhenti.
Menurut Peguam Hanafi Hawari, tindakan seperti menaikkan petunjuk prestasi utama (KPI), mengubah skop tugas atau menukar jawatan tanpa persetujuan boleh dianggap sebagai pemecatan konstruktif.
“Ini berlaku apabila majikan sengaja mewujudkan suasana kerja tidak adil sehingga pekerja tidak boleh meneruskan kerjaya sebelum meletakkan jawatan. Pekerja berhak membuat aduan di Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP),” katanya menerusi perkongsian di media sosialnya.
Beliau menegaskan, sekiranya terbukti bertujuan menyingkirkan seseorang secara langsung atau tidak langsung, pekerja layak mendapat pampasan dan ganti rugi.
Hanafi turut menasihatkan pekerja mendokumentasikan semua perubahan berkaitan jawatan, KPI, e-mel arahan dan tugasan sebagai bukti kukuh sekiranya kes dibawa ke mahkamah atau JPP.
“Jangan biarkan diri ditindas dan hak dirampas. Pekerja berhak mendapat pembelaan,” tegasnya.
Bagi penulis, semuanya melibatkan kepada layanan terhadap pekerja. Sekiranya ekosistem itu tidak adil atau ‘pilih bulu’ hanya melahirkan tenaga kerja yang letih, tidak produktif serta berdendam pada sistem kerja itu. -KOSMO! ONLINE














